Politik jelik, memalukan punca anak muda kurang minat

Mohamed Khairul Azman ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters bertajuk 'Gila Kuasa, Negara Binasa'. - Foto Sinar Harian/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Mohamed Khairul Azman ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters bertajuk 'Gila Kuasa, Negara Binasa'. - Foto Sinar Harian/MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Politik negara dilihat jelik dan memalukan menjadi punca golongan muda kurang berminat untuk menceburinya.

Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez berkata, ia bertentangan dengan prinsip mereka yang mahukan politik yang lebih matang dan memperjuangkan hak rakyat, bukannya bersifat individu.

"Sebab itu ramai anak muda terlibat dengan badan bukan kerajaan (NGO) kerana pertubuhan itu dapat meraih idea mereka tanpa dihalang oleh mana-mana pihak yang berkepentingan.

"Saya harap dengan adanya kerajaan baharu ini, kematangan politik dapat diterjemahkan demi kebaikan bersama.

"Beri reformasi bukan sahaja dari cara bertutur tetapi juga dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters bertajuk 'Gila Kuasa, Negara Binasa' yang disiarkan secara langsung di semua platform Digital Sinar Harian pada Rabu.

Turut diundang menjadi panelis Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis.

Tambah Mohamed Khairul, berpolitik tidak dapat dielakkan namun biarlah kena pada masanya.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang semuanya sudah selesai, pilihan raya umum (PRU) sudah tamat. Jadi semua pihak perlu fokus termasuk pembangkang yang berfungsi mengkritik dengan semak dan imbang," ujarnya.


'Dewan rakyat bukan tempat tunjuk siapa hebat'

Masalah rakyat sukar diselesaikan apabila masih terdapat pemimpin politik yang masih belum mengamalkan sikap berjiwa besar.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, ini kerana Dewan Rakyat sebagai tempat untuk membincang dan menyelesaikan masalah rakyat digunakan bagi perdebatan isu-isu peribadi.

"Dewan Rakyat bukan tempat untuk tunjuk garang atau siapa yang hebat berdebat tetapi bagi membincangkan masalah rakyat dan melahirkan dasar baharu demi manfaat rakyat.

"Kalau kesedaran ini wujud (berjiwa besar), kita akan lebih fokus," ujarnya.

Dalam pada itu, Mujibu memberitahu, sudah tiba masanya untuk mengamalkan politik sederhana dan mereka yang menceburinya bukan untuk kuasa dan kekayaan.