Messi 'sang juara' sebenar Piala Dunia

Lionel Messi. Foto AFP
Lionel Messi. Foto AFP
A
A
A

FINAL epik dan dramatik! Itu yang dapat digambarkan ketika berlangsungnya aksi final Piala Dunia 2022 yang menemukan Argentina dan Perancis pada awal pagi Isnin.

Bersaksikan 88,966 penonton, Argentina dinobatkan juara apabila merakamkan kemenangan 4-2 menerusi penentuan penalti selepas kedudukan terikat 3-3 setelah tamat masa tambahan.

Di sebalik kejayaan Argentina menjulang Piala Dunia buat kali ketiga selepas edisi 1978 dan 1986, tumpuan peminat bola sepak di seluruh dunia sudah pasti terarah kepada satu susuk tubuh bernama Lionel Messi.

Messi bukan sahaja berjaya menjulang Argentina di puncak kejayaan, malah pemain yang sudah mencecah usia 35 tahun kelahiran Rosario itu berjaya memahat beberapa rekod baharu dalam kempen Piala Dunia kali ini.

Lebih menarik, Messi – pemenang Ballon d'Or tujuh kali memecahkan dua rekod pada minit ke-23 ketika dia meledak gol pembukaan Argentina dalam pertemuan menentang Perancis itu.

Rekod baharu tersebut mula tercatat dalam ‘buku sejarah’ Piala Dunia apabila jaringan penalti Messi menyaksikan dia muncul sebagai satu-satunya pemain berjaya menyumbat gol dalam setiap peringkat.

Untuk rekod, Messi meledak gol ketika menentang Arab Saudi dalam aksi kumpulan sebelum dia terus menemui ‘sentuhan pemusnah’ berdepan Australia (16 terbaik), Belanda (suku akhir), Croatia (separuh akhir) dan Perancis (final).

Rekod kedua dicipta Messi apabila jaringannya pada minit ke-23 itu membolehkan dia menjadi pemain paling banyak mengutip minit perlawanan Piala Dunia dengan catatan 2,314 minit, sekali gus memintas rekod 2,217 minit legenda Itali, Paolo Maldini.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Messi telah berjaya memecahkan rekod 25 perlawanan yang dipegang legenda Jerman, Lothar Matthaus apabila membuat penampilan ke-26 di pentas Piala Dunia dalam aksi final tersebut.

Messi juga boleh mendabik dada apabila dia menjadi satu-satunya pemain Argentina tampil dalam lima edisi Piala Dunia – 2006, 2010, 2014, 2018 dan 2022.

Kini Messi yang turut memegang rekod penjaring terbanyak Piala Dunia dengan 13 gol bagi memintas rekod legenda Argentina, Gabriel Batistuta boleh mengucapkan ‘selamat tinggal’ Piala Dunia dengan penuh kebanggaan atas pencapaian cemerlangnya itu.