Jumlah mangsa banjir meningkat kepada 5,385

Penduduk setempat mula berpindah selepas rumah mereka dilanda banjir ekoran hujan lebat semasa tinjauan di Kampung Buluh hari ini. -Foto Bernama
Penduduk setempat mula berpindah selepas rumah mereka dilanda banjir ekoran hujan lebat semasa tinjauan di Kampung Buluh hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah keseluruhan mangsa banjir di 17 daerah di lima negeri yang terjejas dengan bencana tersebut meningkat kepada seramai 5,385 orang terdiri daripada 1,551 keluarga, setakat jam 4 petang Ahad.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kesemua mangsa ditempatkan di 77 buah pusat pemindahan sementara (PPS) yang berada di Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

“Untuk makluman, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pusat yang diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah mula diaktifkan sejak awal pagi tadi.

“Semua PKOB Negeri diminta memaklumkan kepada PKOB Pusat berhubung sebarang keperluan dan isu yang memerlukan intervensi segera bagi memastikan pengurusan tindak balas berjalan lancar,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut laporan Nadma, Kelantan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 3,359 orang melibatkan 990 mangsa yang ditempatkan di 33 PPS yang dibuka di tujuh daerah di negeri berkenaan.

Sementara Terengganu pula merekodkan seramai 1,866 mangsa banjir yang berada di 38 PPS dan melibatkan 512 keluarga yang tinggal di enam daerah di negeri tersebut.

Seramai 36 mangsa di Pahang yang terdiri daripada 12 keluarga pula ditempatkan di satu PPS manakala di Johor pula, 75 mangsa daripada 21 keluarga kini ditempatkan di tiga PPS yang disediakan.

Di Perak pula, dua PPS yang dibuka menempatkan 49 mangsa daripada 21 keluarga.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Armizan berkata, menurut laporan diterima Nadma daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) pada jam 2.30 petang Ahad, Luruan Monsun yang sedang berlaku dijangka berterusan sehingga 24 Disember ini.

Katanya, fenomena itu berpotensi membawa angin kencang, ombak besar dan hujan berterusan di negeri-negeri utara, timur Semenanjung dan timur Sabah serta angin kencang dan ombak besar di perairan Laut China Selatan.

“Justeru, MET Malaysia telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan yang melibatkan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor sehingga 21 Disember 2022.

“Manakala Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi perairan Laut China Selatan pula dijangka berlaku sehingga 22 Disember 2022,” ujarnya.

Sementara itu, Armizan berkata,, laporan diterima PKOB Pusat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) pada pukul 2 petang Ahad melaporkan terdapat 51 lokasi banjir mengalami kejadian cerun/jalan runtuh dan mendap serta kerosakan jambatan.

Kenyataan akhbar oleh Armizan pada Ahad.
Kenyataan akhbar oleh Armizan pada Ahad.

Menurut beliau, kejadian berkenaan berlaku di empat daerah di Kedah, satu di Perak, satu di Selangor, empat daerah di Negeri Sembilan, 16 daerah di Kelantan, 18 daerah di Terengganu, empat di Pahang, dan tiga di Johor yang melibatkan 18 jalan persekutuan dan 33 jalan negeri.

“Keadaan semasa dan operasi secara keseluruhan berjalan dengan lancar terutama di negeri-negeri yang sedang mengalami banjir khususnya di negeri Kelantan dan Terengganu yang sedang mengalami peningkatan intensiti hujan,” katanya.

Penduduk terutamanya di kawasan yang dilanda banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa. Sila dapatkan maklumat dan amaran semasa melalui laman web http://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook: PubliclnfoBanjir dan twitter @JPS InfoBanjir.

Bagi maklumat cuaca, orang ramai boleh muat turun aplikasi myCuaca di Google Play dan App Store untuk maklumat cuaca yang terkini dan sahih dari MET Malaysia.

Armizan berkata, semua pihak diingatkan untuk peka serta patuh kepada arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan segera berpindah sekiranya diarahkan.

Untuk makluman dan pertanyaan, orang ramai boleh hubungi Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) JKR di talian 03-26107727 atau rujuk laman web http://bencanaalam.jkr.gov.my atau Twitter @CSFJ_JKR.

Sebarang info lanjut berhubung kejadian bencana di seluruh negara, sila layari; portalbencana.nadma.gov.my/ms/laporan, Facebook @Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Twitter @NADMA Malaysia.