Lima lokasi pelancongan di Dabong ditutup sementara

Puncak via ferrata di Gua Ikan di Dabong, Kuala Krai menjadi lokasi pengunjung untuk bergambar. Gua Ikan antara lokasi yang ditutup sementara bermula Sabtu. - Foto ihsan Nik Ali Nik Muhammad
Puncak via ferrata di Gua Ikan di Dabong, Kuala Krai menjadi lokasi pengunjung untuk bergambar. Gua Ikan antara lokasi yang ditutup sementara bermula Sabtu. - Foto ihsan Nik Ali Nik Muhammad
A
A
A

KUALA KRAI - Tindakan segera Majlis Daerah Dabong menutup sementara kawasan pelancongan popular termasuk lima lokasi utama di daerah itu pada musim tengkujuh ketika ini mampu menyelamatkan lebih 7,000 pengunjung dalam tempoh sebulan.

Yang Dipertua Majlis Daerah Dabong, Mohd Hariff Ghazali berkata, lokasi-lokasi itu ialah kompleks Gua Ikan, Lata Kertas, Sungai Kenerong, Jelawang Pipe Resort & Extreme Park serta View Point Jelawang yang diarah tutup sementara bermula pada Sabtu.

Menurutnya, tindakan diambil sebagai langkah keselamatan dan susulan arahan daripada Jabatan Kerajaan Tempatan.

“Jabatan mengarahkan semua PBT mengeluarkan arahan penangguhan segera bagi semua aktiviti di kawasan berisiko tinggi termasuk di lokasi cerun, pantai dan kepala air.

“Justeru, semua tempat pelancongan bawah pentadbiran Majlis Daerah Dabong diarahkan tutup serta-merta,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Pemandangan memukau di Kem Baha, Jelawang, Kuala Krai, yang menjadi tarikan pelancong ke daerah itu. - Foto ihsan Nik Ali Nik Muhammad
Pemandangan memukau di Kem Baha, Jelawang, Kuala Krai, yang menjadi tarikan pelancong ke daerah itu. - Foto ihsan Nik Ali Nik Muhammad

Beliau berkata, pada kebiasaanya, lokasi terbabit sudah ditutup lebih awal sebaik sahaja bermula musim tengkujuh kecuali kompleks Gua Ikan, namun kali ini arahan turut membabitkan kompleks itu bagi mengelak kejadian tidak diingini akibat ancaman bencana.

“Kompleks ini menerima pengujung hampir 7,000 pelancong domestik dan antarabangsa setiap bulan dengan jumlah 45,000 pengunjung direkodkan bermula Februari hingga November lalu.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga memohon maaf atas kesulitan ini. Penutupan berkuat kuasa sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan luruan monsun memasuki kawasan rantau negara bermula Sabtu.

Situasi itu memberi kesan angin kencang dan laut bergelora terutama melibatkan kawasan perairan Laut China Selatan serta risiko limpahan air laut terutama kawasan perairan negeri Kelantan sehingga ke timur Johor.

MetMalaysia turut menjangkakan hujan lebat berterusan peringkat buruk berlaku di Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai).