MOT ambil tindakan segera terhadap laporan SPRM

Anthony pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Mengenai Kesesakan Jalan Raya (JTMKJR) di Kementerian Pengangkutan pada Jumaat. - Foto Bernama
Anthony pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Mengenai Kesesakan Jalan Raya (JTMKJR) di Kementerian Pengangkutan pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pengangkutan (MOT) kini dalam proses mengambil tindakan segera terhadap laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai salah laku melibatkan kakitangan sebuah agensi di bawah kementerian itu, kata Menterinya, Anthony Loke.

Anthony berkata, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki telah bertemu dengannya pada Selasa lepas untuk memberikan maklumat kes-kes tatatertib yang belum diselesaikan di peringkat kementerian.

Hasil pertemuan itu, beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Jana Santhiran Muniayan untuk memastikan setiap kes tatatertib diambil tindakan segera dan dilapor balik kepada SPRM.

Ditanya jumlah kes tatatertib yang belum selesai semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Mengenai Kesesakan Jalan Raya (JTMKJR) Bilangan 1/2023 di sini pada Jumaat, Anthony berkata, ia adalah isu dalaman dan terdapat juga sejumlah kes yang telahpun diselesaikan namun belum dilapor kepada SPRM.

"Yang penting kita ambil tindakan daripada apa sahaja saranan SPRM. Itu komitmen saya kepada KP SPRM bahawa MOT akan beri kerjasama sepenuhnya. Kes-kes belum diambil tindakan tatatertib akan disusuli dengan kadar segera,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan pendedahan Azam bahawa beberapa agensi kerajaan mengabaikan lebih 500 laporan salah laku membabitkan kakitangan mereka, walaupun SPRM telah mengesyorkan untuk mengambil tindakan, antaranya melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). - Bernama