[VIDEO] Usul undi percaya PM, dijangka tidak berdepan masalah

Mohamed Khaled
Mohamed Khaled
A
A
A

KOTA TINGGI - Usul undi percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang khas Dewan Rakyat, Isnin ini, dijangka tidak berdepan masalah.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kesemua ahli Parlimen tanpa mengira parti politik akan bertindak rasional ketika usul undi tersebut dilakukan.

"Ahli-ahli Parlimen akan bertindak rasional dan boleh bersetuju terhadap usul undi dibentangkan kelak memandangkan tiada parti politik yang mempunyai majoriti selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Sudah pasti, yang terbaik adalah saranan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah iaitu Kerajaan Perpaduan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir majlis kesyukuran sempena kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRU15 di Masjid An Nur Felda Simpang Waha di sini pada Jumaat.

Mohamed Khaled ( dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada asnaf di Masjid An Nur Felda Simpang Waha pada Jumaat.
Mohamed Khaled ( dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada asnaf di Masjid An Nur Felda Simpang Waha pada Jumaat.

Mohamad Khaled yang juga Menteri Pendidikan tinggi berkata kerajaan yang stabil diperlukan bagi membawa perubahan dan membantu rakyat.

"Rakyat sudah penat dengan politik, sudah tiba masanya kita perlu mempunyai kerajaan mengurus dan mentadbir negara. Saya percaya, rakyat di bawah dalam keadaan mengalami dan kesusahan.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya kita ada sebuah kerajaan yang mantap, saya pasti banyak perkara yang boleh dilakukan bukan sahaja bantu rakyat tetapi juga memacu negara di landasan yang betul dan menjadi sebuah negara disegani di mata dunia," katanya.

Usul undi percaya terhadap kepimpinan Anwar akan menjadi antara agenda utama pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 yang dijadual berlangsung selama dua hari bermula 19 Disember ini.

Anwar, pada sidang pertamanya selepas mengangkat sumpah jawatan pada 24 November lalu, menegaskan akan membentangkan usul undi percaya bagi membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri ke-10.