[VIDEO] ‘Bukan soal kedudukan atau habuan’ - Anwar

Anwar (tengah) semasa Majlis Menandatangani Permuafakatan Antara Gabungan di Bawah Kerajaan Perpaduan pada Jumaat.
Anwar (tengah) semasa Majlis Menandatangani Permuafakatan Antara Gabungan di Bawah Kerajaan Perpaduan pada Jumaat.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan perjanjian persefahaman kerjasama adalah untuk tadbir urus yang baik selain menstabilkan ekonomi.

Menurut beliau, permuafakatan yang telah ditandatangani oleh semua parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan adalah bukan bertujuan untuk mempertahankan kedudukan atau habuan.

“Ini satu perkembangan yang menarik dan bermakna dalam sejarah politik tanah air dimana kita capai persefahaman dan permuafakatan dengan hala tuju yang jelas.

“Ini tidak boleh dicapai tanpa kerjasama rakan-rakan pimpinan parti bukan sahaja semenanjung, tetapi Sabah dan Sarawak.

“Dengan perakuan yang lebih berdasarkan komitmen dengan prinsip dan dasar, saya ingin jelaskan, dalam memorandum yang disepakati, ini bukan soal kedudukan atau habuan.

“Tetapi prinsip dan dasar yang tertera iaitu tadbir urus yang baik dan juga soal pemacuan pertubuhan ekonomi yang segar dan meyakinkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Permuafakatan Antara Gabungan di Bawah Kerajaan Perpaduan, di Bangunan Perdana Putra, di sini pada Jumaat.

Beliau berharap agar sokongan yang telah diberikan parti gabungan tersebut akan berterusan sehingga penggal kali ini berakhir.

Artikel Berkaitan:

"Jika anda lihat apa yang sudah dirangka, perbincangan yang hebat (intense) untuk memahami, komitmennya adalah untuk menyokong kerajaan yang stabil, harapnya sehingga penggal berakhir,” ujarnya.

Beliau terharu dengan bentuk sokongan dan komitmen yang diberikan kesemua ketua-ketua parti terlibat.

Tambahnya, ia membolehkan kerajaan menghadapi apa jua permasalahan yang berlaku akan diselesaikan dengan satu suara, iaitu suara Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“Kita tekankan soal tata kelola kerana isu ini besar dalam negara kita, untuk kita kembali ke dasar membersihkan jentera kerajaan, elak apa-apa ketelanjuran seperti yang telah berlaku dahulu.

“Kita akui beberapa kenyataan ini dan kita mahu maju. Tetapi pusat pemerhatian kita ialah penjanaan pertumbuhan ekonomi yang harus jadi perhatian kepada, bukan saja di Semenanjung, tapi bersama Sabah dan Sarawak,” katanya.

Selain itu, Anwar memberi jaminan kepada Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk terus mengutamakan semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan hal berkaitan kewangan di Sabah dan Sarawak.

“Soal kuasa meluluskan projek dan juga pengiktirafan kepada tenaga jentera di Sabah dan Sarawak, itu disiapkan Kementerian Kewangan dan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk pengerusi dan angkat semula kepada saya untuk diangkat pada mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.