Isu amil tanpa tauliah seperti tiada kesudahan

Forum bertajuk polemik isu amil tanpa tauliah turut menampilkan Luqman (dua dari kiri) Dr Azman (dua dari kanan) dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang, Datuk Rosli Othman (kanan).
Forum bertajuk polemik isu amil tanpa tauliah turut menampilkan Luqman (dua dari kiri) Dr Azman (dua dari kanan) dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang, Datuk Rosli Othman (kanan).
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Isu kegiatan amil tanpa tauliah yang aktif mengutip zakat secara tidak sah daripada orang ramai dan syarikat di negara ini masih berlarutan sehingga kini.

Bukan itu sahaja, kebanyakan mereka yang berselindung di sebalik nama badan bukan kerajaan (NGO) juga dikesan melakukan aktiviti kutipan zakat melangkaui negeri dan mengagihkannya di tempat lain sehinggakan menjejaskan pengurusan institusi zakat yang sah di negeri terbabit.

Profesor Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Dr Azman Ab Rahman berkata, perbuatan itu boleh dianggap sebagai mencuri apabila pihak berkenaan datang membuat kutipan zakat di negeri orang lain tanpa mendapat kebenaran dan tauliah daripada pihak berkuasa agama negeri.

Menurutnya, apa yang membuatkan kumpulan berkenaan lebih agresif melakukan kutipan disebabkan ejen amil tidak bertauliah ini akan diberikan komisen hasil daripada kutipan zakat diperoleh daripada orang ramai dan syarikat.

"Modus operandi itu digunakan oleh mereka dan kumpulan NGO dan amil yang tiada tauliah ini menggunakan ruang serta peluang yang ada untuk mendapatkan dana.

"Ada sesetengah daripada mereka mendapat pulangan atau komisen sehingga 50 peratus daripada kutipan zakat yang diterima... bayangkan ada yang mampu kutip sehingga RM3 juta, berapa pulangan yang mereka terima hasil daripada kutipan itu," katanya ketika menjadi panel dalam forum bertajuk polemik isu amil tanpa tauliah yang diadakan sempena Seminar Kefatwaan Zakat 2022 di sini, pada Khamis.

Dalam forum itu turut menampilkan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang, Datuk Rosli Othman.

Mengulas lanjut, Dr Azman berkata, kutipan zakat yang dilakukan oleh amil tanpa tauliah tidak sepatutnya berlaku lagi pada masa ini.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, perbuatan itu hanya menyebabkan perancangan yang telah dibuat oleh institusi zakat negeri itu terjejas dan kucar-kacir berikutan kehilangan jumlah besar dana zakat yang dilarikan oleh amil yang tidak bertauliah.

"Kesan yang paling besar adalah kesan kepada pengurusan zakat itu sendiri. Perancangan di sudut agihan dan pengurusan zakat akan jadi kucar-kacir.

"Disebabkan itu juga ia akan memberi kesan secara langsung kepada asnaf di negeri itu. Sepatutnya mereka mendapat bantuan mengikut jumlah dan skim tertentu namun disebabkan kutipan dan sasaran yang tidak dapat dicapai oleh institusi zakat itu menyebabkan mereka (asnaf) tidak dapat menerima apa yang sepatutnya," katanya lagi.

Dalam pada itu, Dr Azman berkata, isu berkenaan masih berlarutan disebabkan kurang penguatkuasaan selain tidak semua negeri yang mempunyai akta atau enakmen penguatkuasaan mengenai kesalahan itu (melakukan kutipan zakat tanpa tauliah).

Malah katanya, negeri yang mempunyai undang-undang itu pula masih mengekalkan hukuman yang ringan sekiranya disabitkan atas kesalahan terbabit.

Memberikan contoh di Pulau Pinang, Dr Azman berkata, Seksyen 33 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 iaitu pemungutan zakat atau fitrah tanpa kuasa hanya mengenakan denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Denda hanya RM3,000 bagi mereka tiada apa-apa kerana komisen yang diterima jauh lebih tinggi. Perkara ini yang perlu disemak semula.

"Banyak lagi solusi yang boleh dilaksanakan selain pewartaan undang-undang, kita juga boleh melantik amil yang sah untuk menjadi penguat kuasa bagi membendung masalah ini.

"Selain itu, proses pemutihan perlu dibuat kepada agen-agen kutipan yang dilantik dan perlu diberi penerangan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh mereka dalam melaksanakan tanggungjawab kutipan zakat ini,"katanya.