Henti berpolitik, fokus kos sara hidup tinggi

Gambar hiasan - Foto 123rf
Gambar hiasan - Foto 123rf
A
A
A

SETELAH tamat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sehingga hari ini masih ada lagi segelintir ahli politik yang masih sibuk berperang perihal politik.

Sedar atau tidak, sudah hampir sebulan musim PRU berlalu. Usahlah asyik berbalah berkaitan politik sahaja. ‘Move on’ sahajalah kisah yang sudah berlalu. Sedarlah bahawa banyak lagi isu yang perlu diselesaikan.

Adalah lebih baik apabila ahli politik atau lebih spesifik ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memfokuskan kerja hakiki mereka dengan membantu rakyat.

Jangan semasa mahu meraih undi sahaja baru nampak batang hidung. Tanggungjawab yang diberikan rakyat ini perlu digalas dengan sebaiknya selama lima tahun. Sentiasalah turun padang untuk mengetahui sendiri masalah yang dialami.

Penulis perlu menyampaikan penghargaan kepada bekas Menteri Belia dan Sukan iaitu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang kini masih lagi merupakan Ahli Parlimen Muar.

Pada penggal lepas, beliau telah menjalankan kempen kempen ‘1 Keluarga 1 Laptop’, bantuan bekalan asas kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Meskipun menerima pelbagai kecaman, beliau masih meneruskan perjuangan tersebut.

Cabaran kerajaan pada kali ini adalah lebih sukar. Ini memandangkan negara kini sedang menghadapi kenaikan kos sara hidup tinggi disebabkan harga barangan dan makanan yang semakin mahal.

Tambahan, berdasarkan laporan media, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JPMorgan Chase, Jamie Dimon berkata, kemelesetan ekonomi global dan Amerika Syarikat (AS) berkemungkinan terjadi menjelang pertengahan 2023, lapor Anadolu.

Artikel Berkaitan:

Inflasi melonjak di AS dan seluruh dunia, kenaikan kadar faedah lebih tinggi daripada jangkaan dan perang Russia-Ukraine dianggap faktor ‘amat serius’ yang boleh menyebabkan kemelesetan.

Jadi, kerajaan sememangnya perlu merangka dan mengambil tindakan segera memandangkan tahun 2023 akan tiba dalam dua minggu sahaja lagi.

Tindakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk tidak mengambil gaji sejak Covid-19 melanda negara harus menerima pujian.

Begitu juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Meskipun turut memegang portfolio selaku Menteri Kewangan, namun beliau masih menolak untuk menerima gaji. 


Langkah itu didorong oleh kesusahan yang dialami rakyat berikutan kerajaan sebelum ini didakwa tidak mengambil tindakan berkesan terhadap kenaikan harga barangan.

Inilah pemimpin yang berjiwa rakyat dan perlu dijadikan contoh teladan. Bukannya mereka yang hanya mengambil kesempatan dalam kesempitan yang berlaku.

Ini seharusnya perlu diikuti oleh ramai lagi pemimpin yang mendakwa mereka berjiwa rakyat.

Berbalik kepada masalah rakyat, pelbagai lagi usaha yang perlu dilakukan agar mereka terutama golongan miskin tidak terbeban dengan dua perkara tersebut.

Bukan sahaja memfokuskan kepada kawalan harga barangan, namun pakar turut menyarankan agar kerajaan mengkaji semula tahap minimum gaji pekerja.

Pada 27 April lepas, Warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan oleh Menteri Sumber Manusia ketika itu, Datuk Seri M Saravanan telah mewartakan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei.

Meskipun ada yang gembira dengan khabar itu, namun ada juga yang masih kurang senang terhadap pengumuman tersebut kerana masih tidak mampu menampung kos sara hidup.

Apabila meneliti ruangan sosial media, kebanyakan mereka yang tidak bersetuju dengan penetapan gaji minimum tersebut adalah individu yang mencari sumber pendapatan di bandar-bandar besar.

Menurut mereka, seharusnya kerajaan melaksanakan gaji minimum ini mengikut kawasan kos sara hidup. Ya lah, dengan RM1,500 di bandar, apa sahaja yang boleh dilakukan? tanya mereka.

Bayar komitmen, ‘lesap’ sudah lebih separuh gaji. Ditambah makan, minum, minyak kenderaan. Adalah baki dalam RM100. Beli baju sehelai, langsai sudah gaji.

Jika benar-benar kerajaan pada hari ini merupakan Kerajaan Perpaduan, maka berpadulah tenaga memastikan rakyat tidak terjejas dengan kos sara hidup yang tinggi dan inflasi tidak terkawal.

Jangan disebabkan ‘gajah sama gajah berjuang pelanduk mati di tengah’. Namun hayatilah peribahasa ‘sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk’ yang bermaksud susah senang dirasai bersama.

*Nazrin Zulkafli ialah wartawan Sinar Harian