Jangan lupa ramai maut akibat Covid-19

Malaysia merekodkan sebanyak 36,957 kematian akibat Covid-19 setakat tahun lalu. Gambar hiasan
Malaysia merekodkan sebanyak 36,957 kematian akibat Covid-19 setakat tahun lalu. Gambar hiasan
A
A
A

KECOH apabila firma farmaseutikal AstraZeneca (AZ) membuat pengakuan bahawa vaksin Covid-19 keluarannya boleh menyebabkan kesan sampingan dan telah menarik balik vaksin tersebut di seluruh dunia.

Pengakuan itu dibuat dalam satu dokumen mahkamah bahawa vaksinnya berpotensi menyebabkan sindrom trombositopenia (TTS) atau pembekuan darah dalam beberapa kes terpencil.

Gergasi farmaseutikal itu menghadapi saman di Mahkamah Tinggi, United Kingdom (UK) atas dakwaan vaksin yang dibangunkan mereka bersama Universiti Oxford itu boleh menyebabkan kematian dan kecederaan serius dalam puluhan kes.

Sebanyak 51 kes telah dikemukakan di Mahkamah Tinggi UK setakat ini, dengan mangsa menuntut ganti rugi dianggarkan bernilai sehingga £100 juta (RM512 juta).

Meskipun berlaku di luar negara, namun berita ini turut mengejutkan rakyat Malaysia terutamanya mereka yang mengambil vaksin AZ.

Rata-rata meluahkan rasa bimbang, tak kurang juga yang berkongsi perihal kesihatan masing-masing.

Malah ada yang mengaitkan kes serangan jantung, angin ahmar dan pembekuan darah yang berlaku disebabkan vaksin.

Bagi golongan antivaksin, inilah peluang untuk mereka ‘menembak’ dan mentertawakan penerima vaksin yang kononnya pendirian mereka selama ini betul.

Artikel Berkaitan:

Mereka turut memomokan kesan pengambilan vaksin dengan kes-kes kematian yang berlaku di negara ini.

Bagaimanapun pakar kesihatan menasihatkan penerima vaksin AZ di negara ini tidak perlu risau kerana mereka sudah melepasi tempoh kesan sampingan berkenaan.

Menerusi laporan media, Pakar Klinikal (Perubatan Keluarga) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim menjelaskan, kesan sampingan vaccine-induced immune thrombotic thrombocytopenia (VITT) akibat pengambilan vaksin AZ hanya berlaku dalam tempoh empat hari hingga empat minggu selepas vaksinasi.

VITT adalah penyakit di mana darah membeku dan sel darah kuning menjadi kurang disebabkan tindak balas imuniti badan terhadap sel darah kuning itu.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan kes serangan jantung, angin ahmar dan pembekuan darah yang masih berlaku mempunyai kaitan dengan vaksin.

Sebaliknya ia berpunca dari faktor lain seperti merokok, masalah kolesterol, kencing manis dan sebagainya.

Jika diimbau semula ketika wabak Covid-19 melanda seluruh dunia pada tahun 2020, pasti ramai dalam kalangan kita tidak dapat melupakan peristiwa hitam yang menyaksikan banyak nyawa terkorban.

Ketika itu, seluruh hospital termasuk semua wad dan unit rawatan rapi (ICU) dipenuhi dengan pesakit Covid-19 sehingga barisan hadapan hampir lumpuh ‘berperang’ dengan wabak itu. Banyak negara juga terpaksa mengadakan pelbagai sekatan bagi membendung wabak.

Setiap hari ada sahaja nyawa yang terkorban, malah angkanya sangat menakutkan. Di saat seluruh dunia bergelut dengan wabak itu, hanya program vaksinasi sahaja menjadi harapan.

Menerusi program vaksinasi, rakyat Malaysia digalakkan mengambil vaksin. Selain AZ, jenis vaksin yang ditawarkan ketika itu termasuklah Pfizer dan Sinovac.

Meskipun tahap keberkesanan dan keselamatan vaksin diragui ketika itu, namun seluruh dunia, bahkan Malaysia tidak mempunyai pilihan lain selain vaksinasi bagi menghentikan wabak.

Di Malaysia, sebanyak 36,957 kematian akibat Covid-19 direkodkan setakat tahun lalu dan sejak program vaksinasi kadar kematian menunjukkan penurunan ketara.

Kita seharusnya bersyukur, dengan program vaksinasi itu jugalah kita dapat kembali meneruskan kehidupan seperti biasa.

Janganlah hanya kerana beberapa kes terpencil, usaha kerajaan dan barisan hadapan yang bertungkus lumus menyelamatkan nyawa rakyat ketika itu menjadi pertikaian dan diperlekeh begitu sahaja.

Hargailah susah payah kerajaan dan barisan hadapan yang bermati-matian menyelamat nyawa kita semua!

* Arney Syema Anua ialah Editor Pengisian Sinar Harian

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!