Perlukah tebang semua pokok di ibu kota KL?

Pokok tumbang turut menghempap landasan monorel di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur dalam kejadian pada 7 Mei lalu.
Pokok tumbang turut menghempap landasan monorel di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur dalam kejadian pada 7 Mei lalu.
A
A
A

KEJADIAN pokok tumbang akibat hujan lebat dan ribut yang kerap berlaku kebelakangan ini terutama di kawasan bandar menimbulkan kebimbangan orang ramai.

Bukan sahaja merosakkan harta benda atau infrastruktur awam, malah meragut nyawa pengguna jalan raya.

Pada 7 Mei lalu, seorang maut apabila sebanyak 17 kenderaan ditimpa pokok berusia lebih 50 tahun yang tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

Belum pun reda kejadian itu, lima kenderaan pula rosak akibat ditimpa pokok tumbang di Jalan Macalister, Georgetown, Pulau Pinang pada Sabtu.

Isnin lalu, berlaku lagi kejadian pokok tumbang di Kuala Lumpur, kali ini di Jalan Pinang, berhadapan Kuwait Bank yang hampir menimpa kenderaan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika mempunyai urusan kerja di ibu negara. Tiga buah kereta dan lima motosikal, termasuk sebuah kenderaan polis yang mengiringi Ketua Menteri Melaka rosak.

Pada hari sama, seorang wanita terselamat selepas kereta dinaiki dihempap pokok tumbang di Jalan Kuala Dipang Pearl Park, Kangar, Perlis. Mangsa berusia 30-an bagaimanapun berjaya dikeluarkan anggota bomba tanpa sebarang kecederaan.

Empat kejadian itu sudah cukup menunjukkan insiden pokok tumbang adalah sesuatu yang serius. Ada banyak lagi kejadian pokok tumbang yang tidak dilaporkan media sebelum ini.

Berikutan itu, ramai yang menyuarakan rasa tidak puas hati dengan tahap pemantauan pokok-pokok yang ditanam pihak berkuasa tempatan (PBT), malah ada yang mencadangkan semua pokok-pokok di ibu kota Kuala Lumpur ditebang.

Artikel Berkaitan:

Namun, perlukah semua pokok-pokok ini ditebang?

Penanaman pokok terutama di kawasan bandar bukan sahaja untuk mencantikkan pemandangan, sebaliknya sebagai teduhan, menghijaukan kawasan yang dikelilingi pembangunan konkrit, sekali gus mengurangkan pencemaran udara dan bunyi.

Beberapa kajian pakar juga membuktikan pokok memainkan peranan penting untuk menjamin kelestarian persekitaran dan kesihatan manusia.

Pokok juga bertindak sebagai agen penyerap karbon dan membebaskan oksigen bagi menyejukkan persekitaran serta menurunkan suhu sekitar 3 hingga 5 darjah Celsius.

Maka, penebangan pokok dilihat bukanlah satu-satunya solusi terbaik untuk mengelakkan kejadian insiden berulang.

Banyak langkah-langkah pencegahan yang boleh dilakukan oleh PBT, antaranya melantik pakar pokok seperti arboris bertauliah yang akan membuat penilaian risiko pokok. Mereka boleh memberikan cadangan langkah kawalan serta rawatan sewajarnya bagi menyelamatkan pokok atau memberi pengesahan ia boleh ditebang jika tidak dapat diselamatkan.

Melantik konsultan landskap yang mempunyai kepakaran dalam perancangan bandar juga salah satu inisiatif boleh dipertimbangkan. Perancangan bandar merangkumi landskap perlu seiring dengan pembangunan yang dilakukan agar tidak mengundang bahaya kepada orang ramai.

Oleh itu, kejadian pokok tumbang ini dapat dielakkan sekiranya hal berkaitan pengurusan, pemantauan dan penyelenggaraan pokok diberi perhatian sepenuhnya pada peringkat awal lagi.

Pihak berwajib perlu memainkan peranan masing-masing dalam mencegah perkara ini agar tiada lagi nyawa yang terkorban akibat kecuaian dan sikap menutup mata sesetengah pihak.

Sebagai langkah drastik, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa bukan sahaja mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menebang pokok-pokok di ibu kota yang berisiko tumbang, malah meminta PBT itu menambah baik Pelan Pengurusan Pokok Rendang dan menyediakan garis panduan baharu berkaitan pokok berusia atau berisiko tinggi. Pelan ini dijangka siap pada Julai ini.

Bukan DBKL sahaja tetapi semua PBT di seluruh negara perlu menjadikan insiden ini sebagai iktibar. Segera memantau pokok-pokok yang ditanam di kawasan perbandaran, mungkin ada yang sudah tua dan berisiko untuk tumbang.

Jangan pula bila sudah ada yang menjadi mangsa, baru nak bertindak kerana langkah pencegahan sepatutnya bermula daripada awal lagi.

* Siti Aisyah Mohamad ialah wartawan Sinar Harian

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!