PRK sudah selesai, kini masa lawan denggi pula

Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME16 ialah sebanyak 50,650 kes berbanding 35,202 kes bagi tempoh sama pada tahun 2023. Gambar hiasan.
Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME16 ialah sebanyak 50,650 kes berbanding 35,202 kes bagi tempoh sama pada tahun 2023. Gambar hiasan.
A
A
A

SELESAI sudah Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu pada Sabtu lalu. Selepas berhempas pulas berkempen selama 14 hari, akhirnya siapa yang diangkat oleh pengundi untuk menjadi wakil rakyat sudah terjawab.

Sudah tentu bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baharu yang diberi kepercayaan oleh rakyat, Pang Sock Tao, ada banyak masalah penduduk di kawasannya yang perlu diselesaikan.

Namun, dalam kesibukan merancang pembangunan dan kesejahteraan untuk rakyat, kita tidak seharusnya leka dengan isu semasa melibatkan kesihatan rakyat. Antara yang perlu diberi perhatian bukan sahaja Sock Tao, malah wakil-wakil rakyat lain di Selangor ialah kes denggi yang semakin menular.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan baru-baru menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan langkah pencegahan denggi dengan memastikan persekitaran bebas daripada bekas berpotensi menjadi tempat pembiakan aedes.

Beliau bimbang kes denggi mungkin merebak dalam kalangan orang ramai ketika kempen PRK Kuala Kubu Baharu hangat berlangsung.

Menerusi kenyataan beliau pada 29 April lalu, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME16 ialah sebanyak 50,650 kes berbanding 35,202 kes bagi tempoh sama pada tahun 2023.

Selain itu, sebanyak 39 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding 22 kematian bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Kebimbangan Dr Muhammad Radzi ini ada rasionalnya kerana bilangan hotspot yang dilaporkan pada ME16 ialah 80 lokaliti dan sebahagian besarnya iaitu 67 lokaliti adalah di Selangor.

Artikel Berkaitan:

Sementara yang lain ialah tujuh lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, dua lokaliti masing-masing di Perak dan Kedah, serta satu lokaliti masing-masing di Pulau Pinang dan Sarawak.

Umum mengetahui bahawa demam denggi berbahaya, namun berapa ramai yang mahu mencegah penularan demam denggi yang menjadi antara masalah kesihatan paling dikhuatiri rakyat Malaysia.

Hampir 70 peratus daripada kita tidak sedar bahawa parasetamol ialah satu-satunya ubat disyorkan untuk menangani demam denggi seperti dinyatakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Penulis ingin berkongsi pengalaman seorang rakan, Tarmizi Mohamad, 48, ketika melawan denggi. Ujar Tarmizi, dia terpaksa berehat seminggu di hospital kerana demam dan bacaan suhu badannya sentiasa turun naik. Badannya juga terasa seperti dicucuk jarum.

Menurutnya, kesakitan dialami itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata dan bukan seperti demam biasa, malah hidung juga berdarah. Setiap kali memberus gigi, gusi juga akan berdarah.

Menurut Tarmizi lagi, keperitan dijangkiti penyakit itu membuatkan dia bertekad melawannya dan kembali sembuh termasuk mencuba pelbagai rawatan alternatif termasuk petua pemakanan yang dikongsikan umum.

Selepas hampir seminggu di hospital, bacaan platelet semakin baik, Tarmizi juga tidak perlu melakukan proses rawatan plasma darah dan dibenarkan pulang ke rumahnya.

Walaupun peristiwa itu sudah berlalu, namun sehingga sekarang dia masih trauma. Sehinggakan pantang melihat nyamuk dan bekas air bertakung di dalam mahupun di luar rumahnya pasti akan dibersihkannya kerana takut dijangkiti denggi semula.

Menurut Tarmizi, apabila mahu meninggalkan rumah dalam tempoh yang lama, dia akan memastikan air di dalam kolah atau tong air dikosongkan supaya tiada nyamuk membiak. Sebabnya satu, kesakitan akibat jangkitan virus denggi masih tidak dapat dilupakannya sehingga sekarang dan dia tidak mahu anggota keluarga lain mengalami nasib sama.

Mungkin mereka yang tidak pernah dijangkiti denggi mungkin tidak akan merasa pentingnya untuk mencegah dan melawan, namun bagi yang pernah mengalaminya sudah pasti trauma dan sedar akan bahaya penyakit tersebut.

* Mohd Azlim Zainury ialah Wartawan Sinar Harian Biro Selangor