'Kuatkan iman, ajaran The Ahmadi tidak benar'

Pihak berwajib perlu menyekat penyebaran ajaran sesat dan pengaruh buruk menerusi media sosial. -Gambar hiasan
Pihak berwajib perlu menyekat penyebaran ajaran sesat dan pengaruh buruk menerusi media sosial. -Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Ajaran sesat dilihat tidak mempunyai kesudahan apabila baru-baru ini media sosial hangat memperkatakan tentang ajaran The Ahmadi, Religion of Light and Peace yang membawa fahaman bertentangan dengan agama Islam.

Jika diteliti kandungan yang dikongsikan oleh ajaran berkenaan, ia secara terang-terangan menidakkan perkara yang tertulis di dalam al-Quran seperti berkaitan solat, puasa dan sebagainya.

Lebih menakutkan apabila pengikut agama berkenaan aktif di media sosial dalam menyebarkan fahaman yang tidak benar dan menyalahi agama.

Hal berkaitan ajaran sesat dibawa oleh The Ahmadi, Religion of Light and Peace itu bukan perkara baharu sebaliknya fahaman lama, namun kembali tular apabila ada rakyat di Malaysia ini mendakwa ia adalah agama yang benar.

Perkara itu amat membimbangkan kerana ia melibatkan kepercayaan dan pegangan agama. Jika seseorang itu mudah percaya dan menerima sesuatu hal maka tidak mustahil mereka mempercayai agama berkenaan.

Justeru, isu ini turut mendapat perhatian Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang menggesa semua pihak untuk bekerjasama membanteras ajaran sesat di negara ini daripada terus disebarkan secara berleluasa oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Gesaan tersebut dibuat susula ajaran The Ahmadi, Religion of Light and Peace cuba ditularkan kembali menerusi media sosial di negara ini.

Ajaran itu cuba disebarkan semula walaupun telah lama difatwakan sesat oleh pihak berkuasa agama Islam di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri.

Artikel Berkaitan:

Oleh yang demikian, amat diharapkan agensi-agensi kerajaan terutamanya polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memainkan peranan dalam membanteras hal-hal yang boleh mengganggu keamanan serta kesejahteraan rakyat Malaysia.

Perkara itu tidak boleh dilengah-lenggahkan kerana ia melibatkan pegangan agama dan kesucian agama Islam.

Jelas ajaran Ajaran The Ahmadi, Religion of Light and Peace bertentangan dengan Islam dan hal berkenaan perlu diambil tindakan segera agar tidak ada mana-mana individu yang mengikuti kepercayaan karut itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!