'Tiada alasan tidak sokong undi percaya PM'

Razlan
Razlan
A
A
A

SHAH ALAM - Tidak ada alasan untuk mana-mana Ahli Parlimen dalam parti kerajaan menolak usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana pembahagian jawatan dalam kabinet disifat sudah cukup 'cantik' untuk mencapai sebarang bentuk kesepakatan dalam Kerajaan Perpaduan menerajui negara.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Rafii berkata, jelas bahawa keputusan yang telah dicapai untuk bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan adalah demi kepentingan rakyat.

"Kita tahu kita 30 (ahli parlimen) sahaja. Kita tak minta pun jadi perdana menteri. Kali ini kita ada perdana menteri daripada Pakatan Harapan (PH), ada timbalan perdana menteri daripada Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan jawatan-jawatan lain yang pembahagiannya cukup cantik dan tidak ada alasan untuk parti-parti ini menolak.

"Kita parti kecil kita kena faham bahawasanya majoriti mesti mengetuai minoriti. Kita jangan jadi macam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Mereka minoriti nak pimpin majoriti sebab tu banyak perkara tidak dapat satu kata putus yang baik," katanya menerusi Program Sinar Live disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Program Sinar Live bertajuk “Menjelang Usul Undi Percaya PM” menampilkan Razlan (kanan), dan Nurul Aishah (tengah) yang berlangsung di Auditorium Kumpulan Karangkraf pada Khamis. - Foto Sinar Harian RAFEQ REDZUAN
Program Sinar Live bertajuk “Menjelang Usul Undi Percaya PM” menampilkan Razlan (kanan), dan Nurul Aishah (tengah) yang berlangsung di Auditorium Kumpulan Karangkraf pada Khamis. - Foto Sinar Harian RAFEQ REDZUAN

Program bertajuk 'Menjelang Usul Undi Percaya PM' itu menampilkan Penyarah Pusat Komunikasi dan Media UiTM, Ts Nurul Aishah Ab Raman dan dihoskan oleh Hazwan Mokhtar.

Mengulas lanjut Razlan berkata, Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, begitu bermakna dalam situasi negara untuk menamatkan persoalan mengenai keabsahannya Anwar selaku Perdana Menteri.

Katanya, akta itu sendiri melambangkan semangat yang perlu dipegang bagi mengekang mana-mana individu membelakangi keputusan parti sekaligus tidak meletakkan negara kembali berisko berdepan polemik politik.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin masih ada yang tak faham, masih nak berdebat tentang keabsahan akta, mahu pertikai..ada yang cakap nak sokong sebagai individu. Jadi perlu diketahui walaupun individu yang akan mengundi sesuatu usul,akta atau seseorang, ia tidak menggambarkan individu.

"Ia perlu menggambarkan keputusan parti keseluruhannya. Justeru apa yang kita buat hari ini, sekiranya sudah ada keputusan-keputusan yang diambil melalui penerangan ketua-ketua parti, untuk menyokong siapa, perkara itu perlu diikut. Jika tidak, ia akan dicabar di mahkamah di kemudian hari dan semangat itu dah tiada,"katanya.

Satu usul undi percaya akan dibentangkan dalam sidang Parlimen pada 19 Disember ini.

Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 itu akan berlangsung selama dua hari dengan antara agenda utama ialah pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan usul undi percaya terhadap kepemimpinan Anwar.