Johor perlu henti eksport telur ke Singapura, tiga negeri

Zahari melihat proses pembungkusan buah nanas sebelum menyempurnakan pelepasan eksport nanas MD2 ke Jerman di Ladang Nanas Kulim di Ulu Tiram, Johor Bahru, pada Khamis.
Zahari melihat proses pembungkusan buah nanas sebelum menyempurnakan pelepasan eksport nanas MD2 ke Jerman di Ladang Nanas Kulim di Ulu Tiram, Johor Bahru, pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Johor perlu melaksanakan sekatan eksport bekalan telur ke Singapura termasuk menghantarnya ke tiga negeri lain bagi mengatasi masalah bekalan telur di negeri yang kritikal.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa kerana langkah menyekat eksport bekalan telur adalah di bawah bidang kuasa kerajaan pusat.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan bertemu dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu dijangka pada minggu depan untuk membincangkan masalah tersebut.

"Sepatutnya sekiranya ia (eksport dan bekalan dihantar ke negeri lain) dibendung termasuk sama ada menerusi peraturan atau arahan kerajaan seperti dilakukan dalam isu ayam, mungkin Johor tidak akan ada isu kekurangan bekalan telur yang kritikal.

"Masalah kekurangan bekalan telur di Johor menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai yang mempersoal punca permasalahan berkenaan berikutan negeri ini menjadi pengeluar telur ayam utama di negara.

"Mengikut data daripada Jabatan Veterinar, mulai Januari hingga September, pengeluaran telur di Johor sepatutnya 1.7 bilion biji tetapi apabila pengeluaran merosot dan hanya mencapai 1.3 bilion biji telur iaitu kurang 0.4 bilion biji telur," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan pelepasan eksport pertama nanas MD2 ke Jerman di Ladang Nanas Kulim di Ulu Tiram di sini pada Khamis.

Beliau berkata, antara sebab kekurangan pengeluaran telur di negeri ini yang dinyatakan pihak jabatan veterinar kerana pengusaha mengurangkan ternakan ayam telur.

Artikel Berkaitan:

"Ia bukan sengaja dilakukan sebaliknya bagi menampung kos yang meningkat apabila ringgit jatuh selain kos meningkat termasuk makanan ayam.

"Sepatutnya kekurangan bekalan tidak menjadi masalah namun ia menjadi kritikal kerana pengusaha kita menghantar bekalan ke Singapura, Pahang, Negeri sembilan dan Melaka atas faktor permintaan dan kontrak," ujar beliau.

Program anjuran Lembaga Perindustrian Nanas, LPNM itu menyaksikan Kulim (M) Berhad menjadi syarikat pengedar ke Jerman sebelum dipasarkan ke lima negara Eropah.