Redah banjir guna motosikal ubah suai bantu penduduk kampung

Sabri (depan) bersama rakannya Mohd Hirwan Rajiuon, 41, menunggang motosikal telah diubahsuai yang mampu meredah banjir ketika ditemui Bernama di Kampung Tersang, Rantau Panjang, pada Khamis. - Foto Bernama

A
A
A

PASIR MAS - Kreativiti seorang pemuda dari Kampung Tersang, Rantau Panjang di sini, yang mengubahsuai motosikalnya bagi memastikan kenderaan itu dapat meredah banjir secara tidak langsung telah membantu ramai penduduk kampung berkenaan.

Sabri Sulaiman, 21, berkata, pada mulanya ubah suai itu dibuat bagi membolehkan dia memantau lembu ternakannya yang diletakkan di tempat tinggi berikutan kampungnya digenangi air.

"Saya pelihara 11 ekor lembu tetapi apabila kawasan kampung dinaiki air saya pindahkan haiwan ternakan itu ke kawasan tebing tinggi di Kampung Lachang yang terletak kira-kira satu kilometer dari Kampung Tersang.

"Motosikal ini digunakan untuk memudahkan saya mengharungi banjir untuk melihat ternakan tersebut kerana ada kawasan yang tidak dapat dilalui kenderaan biasa termasuk perahu. Jadi, saya ambil inisiatif lakukan modifikasi terhadap motosikal saya ini," katanya ketika ditemui Bernama, di sini pada Khamis.

Sabri memeriksa motosikalnya yang telah diubahsuai bagi membolehkan motosikal meredah banjir ketika ditemui Bernama di Kampung Tersang, Rantau Panjang, pada Khamis. - Foto Bernama
Sabri memeriksa motosikalnya yang telah diubahsuai bagi membolehkan motosikal meredah banjir ketika ditemui Bernama di Kampung Tersang, Rantau Panjang, pada Khamis. - Foto Bernama

Bercerita lanjut, Sabri berkata, dia membelanjakan kira-kira RM200 untuk melakukan ubah suai terhadap motosikal jenis Honda Wave 100 itu.

Saya tinggikan penyerap hentak (absorber), guna getah radiator sebagai sambungan ke karburetor bagi memastikan ia tidak masuk air. Ini penting bagi membolehkan motosikal terus bergerak ketika mengharung banjir," katanya.

Sabri berkata, motosikal tersebut mampu mengharungi banjir separas pinggang orang dewasa dan turut digunakan bagi memberi khidmat kepada penduduk sekitar Kampung Tersang.

Artikel Berkaitan:

"Ada penduduk kampung minta bantuan untuk hantar makanan atau keluar beli barang sekiranya laluan tidak sesuai dilalui sebarang kenderaan, motosikal ini jadi pilihan mereka," katanya. - Bernama