Tiga nama disenarai sebagai calon Peguam Negara

Nama ketiga-tiga calon tersebut telah dikemukakan kepada Anwar untuk pertimbangan sebelum beliau memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi pelantikan jawatan berkenaan. Gambar hiasan - Pejabat Peguam Negara
Nama ketiga-tiga calon tersebut telah dikemukakan kepada Anwar untuk pertimbangan sebelum beliau memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi pelantikan jawatan berkenaan. Gambar hiasan - Pejabat Peguam Negara
A
A
A

SHAH ALAM - Terdapat tiga calon dilaporkan sedang dipertimbangkan bagi mengisi jawatan Peguam Negara.

Menurut The Star yang memetik daripada sumber mempunyai kedudukan tinggi dalam kerajaan, ketiga-tiga calon itu yang kesemuanya merupakan Hakim ialah Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin, Datuk Seri Kamaludin Md Said and Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Katanya, ketiga-tiga nama tersebut telah dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk pertimbangan sebelum Ahli Parlimen Tambun itu memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi pelantikan ke jawatan berkenaan.

Laporan pada Khamis itu turut menyatakan bahawa sumber tersebut mendakwa Peguam Negara, Tan Sri Idrus Azizan Harun telah menyatakan hasrat untuk tidak menamatkan baki kontraknya yang dijadual berakhir pada Mac tahun depan, jika beliau bakal diganti.

Tambah sumber tersebut, pelantikan itu akan dibuat tidak lama lagi kerana Perdana Menteri perlu memastikan penyusunan lengkap pentadbirannya sebelum tahun baharu untuk menumpukan perhatian kepada perkara lain.

Idrus dilantik semula sebagai Peguam Negara untuk tempoh setahun pada 6 Mac lalu. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata penyambungan kontrak itu selaras dengan Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan.

Di bawah Perkara 145(1), Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat perdana menteri, melantik seseorang yang layak menjadi hakim Mahkamah Persekutuan untuk menjadi Peguam Negara.

Kamaludin merupakan hakim Mahkamah Rayuan yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 November 2012 dan berkhidmat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sehingga 11 September 2014.

Artikel Berkaitan:

Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dan kemudiannya berkhidmat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Seremban sehingga 2018.

Hakim Kamaludin dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Rayuan (Rayuan dan Kuasa Khas) pada 27 April 2018 dan kini bertanggungjawab dalam semakan kehakiman.

Seorang lagi calon dalam senarai berkenaan ialah Hakim Ahmad Fairuz yang pernah menjadi timbalan ketua eksekutif Suruhanjaya Sekuriti (SC) dari 1 April 2016 hingga 29 Mac 2018.

Pada 30 Mac 2018, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi dan pada 25 Mac lalu, beliau disahkan sebagai hakim penuh Mahkamah Tinggi di bahagian komersial.

Sementara, calon lain dalam senarai tersebut ialah Hakim Wan Ahmad yang mendapat perhatian pada Jun lalu apabila beliau menarik diri daripada mendengar permohonan bekas Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Razak untuk membenarkan Peguam Permaisuri (QC) Jonathan Laidlaw mewakilinya dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Wan Ahmad pernah menjadi ahli politik aktif dan mempunyai ahli keluarga yang masih aktif dalam UMNO.

Beliau dilantik sebagai Senator pada 2008 dan merupakan timbalan kepada Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Syed Hamid Albar.

Beliau meletak jawatan sebagai Senator untuk bertanding sebagai calon BN pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada 2009.

Bagaimanapun, Wan Ahmad kalah dalam pilihan raya dan meletak jawatan daripada UMNO sebelum meneruskan kerjaya undang-undang pada 2013.