MN bersedia bekerjasama dengan kerajaan

Annuar pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Muafakat Nasional (MN) di Sri Hatamas pada Khamis. - Foto Sinar Harian HALIM WAHID
Annuar pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Muafakat Nasional (MN) di Sri Hatamas pada Khamis. - Foto Sinar Harian HALIM WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR – Muafakat Nasional (MN) sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, fungsi kerjasama itu walau bagaimanapun mesti sesuai dengan peranan MN sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

“Kita bukan hendak berebut kuasa, yang hendak berebut kuasa itu biar parti politik lah, kawan-kawan kita,” katanya.

Beliau turut menyatakan kesediaan untuk bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bila-bila masa jika diperlukan.

“Datuk Seri Anwar kawan baik sejak dari dahulu lagi, saya bersama beliau dalam Pemuda UMNO. Apabila beliau dipecat daripada UMNO, saya antara pemimpin yang tidak pernah menyerang dia dengan cara tidak sopan atau agresif.

“Kami juga berjiran ketika di Bukit Damansara dahulu, hubungan kami akrab, sebelum dia dipecat kalau dia masih ingat saya orang terakhir makan nasi di rumah Timbalan Perdana Menteri kemudian iring ke Kelantan sebelum beliau dipecat.

“Prinsip saya, saya tak mahu gaduh peribadi dengan sesiapa bukan dengan Datuk Seri Anwar begitu juga dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Muafakat Nasional (MN) pada Khamis.

Mengulas lanjut mengenai pemecatannya dari UMNO, Annuar berkata, beliau tidak akan membuat rayuan untuk kembali kepada parti itu kerana percaya bahawa pucuk pimpinan parti itu tidak lagi memerlukan perkhidmatannya.

Artikel Berkaitan:

"Saya telah membuat keputusan, saya tidak akan merayu. Kalau nak merayu ini, kita kena tahu apa salah. Jadi, kita boleh menilai yang betul dan salah. Kalau salah kita merayu.

"Tapi, saya ingat saya tak tahu apa tuduhan saya tak dipanggil. Tak pernah diminta memberi penjelasan. Panggil secara sahabat pun tak ada," ujarnya

Dalam sidang akhbarnya itu, beliau turut menamakan 30 Ahli Majlis Tertinggi MN terdiri daripada individu berlatar belakangkan profesional, parti politik, NGO, pendidik dan selebriti.

“Ahli Majlis Tertinggi MN termasuklah bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar; Pemimpin Parti Bangsa Malaysia, Datuk Zuraida Kamaruddin; Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz manakala selebriti Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Eizlan Yusof,” jelas beliau.

Difahamkan MN kini mempunyai 20,000 ahli berbilang bangsa dan agama sejak keahliannya dibuka bulan lalu.