Pemilik bengkel didakwa edar ganja berdepan hukuman mati

Seorang pemilik bengkel dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jitra pada Khamis.
Seorang pemilik bengkel dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jitra pada Khamis.
A
A
A

KUBANG PASU - Seorang pemilik bengkel dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jitra di sini pada Khamis atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja seberat 35.5 kilogram (kg) di Changlun pada 4 Disember lepas.

Tertuduh, Lee Chee Thiam, 50, mengangguk tanda faham sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Nurul Huda Idris.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan diambil mahkamah daripada tertuduh hingga laporan kimia diterima nanti.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah di sebuah bengkel kereta di Changlun kira-kira jam 3.30 petang pada 4 Disember lepas.

Chee Thiam didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori sekiranya sabit kesalahan.

Sebelum itu, pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Karthy Gasedev,manakala tertuduh diwakili peguam dari Ravi Shankar Gandhi & Associates.

Majistret menetapkan tarikh 29 Mac 2023 untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Tertuduh seterusnya dibawa ke Penjara Alor Setar untuk menjalani tahanan.

Artikel Berkaitan:

Pada 7 Disember lepas, media melaporkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah merampas 35 ketulan ganja mampat seberat 35.5 kilogram bernilai RM142,000 disorok dalam trak pikap di sebuah bengkel membaiki kenderaan di Changlun.

Pengarah JKDM Kedah, Nor Izah Abd Latiff berkata, serbuan pada kira-kira jam 3.30 petang dijalankan oleh sepasukan anggota Kastam Cawangan Penguatkuasaan Alor Setar di bengkel tersebut selepas hasil pemantauan rapi selama dua minggu.

Beliau memaklumkan, dadah tersebut dalam empat kotak putih disorok dalam trak pikap bernombor pendaftaran negara jiran di bengkel tersebut bagi mengaburi mata pihak berkuasa.