Maklumat kes dadah bongkar kegiatan seludup keluar PATI

Wan Kamarul Azran menunjukkan wang tunai yang dirampas susulan serbuan sebuah rumah transit di Cyberjaya, Ahad lalu.
Wan Kamarul Azran menunjukkan wang tunai yang dirampas susulan serbuan sebuah rumah transit di Cyberjaya, Ahad lalu.
A
A
A

SEPANG - Taktik tekong darat membawa 42 pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan kenderaan e-hailing secara bergilir sebelum menyembunyikan mereka di sebuah rumah di Cyberjaya di sini terbongkar pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kesemua PATI itu berjaya ditahan pada jam 6 petang susulan maklumat kegiatan pengedaran dadah.

Menurutnya, semasa serbuan seorang lelaki tempatan iaitu penyewa rumah berkenaan enggan membuka pintu sebelum polis berjaya memecah masuk.

"Suspek lelaki dipercayai berperanan sebagai tekong darat itu kemudian melarikan diri dengan terjun melalui pintu belakang rumah.

"Pemeriksaan di dalam rumah menemui 42 PATI warga Indonesia terdiri 26 lelaki, 15 perempuan serta seorang kanak-kanak lelaki yang bersembunyi di dalam dua bilik rumah terbabit.

"Turut dirampas wang tunai RM7,000 dan dadah seberat 0.24 gram," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang pada Khamis.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, tekong darat berusia 42 tahun terbabit berjaya ditahan di Dengkil di sini pada Rabu.

Sebuah kediaman yang dijadikan rumah transit PATI di Cyberjaya diserbu polis pada Ahad lalu.
Sebuah kediaman yang dijadikan rumah transit PATI di Cyberjaya diserbu polis pada Ahad lalu.

Artikel Berkaitan:

Wan Kamarul mendedahkan, siasatan mendapati rumah terbabit dijadikan rumah transit bagi PATI sebelum dihantar pulang ke negara asal melalui jalan tidak diwartakan di sekitar perairan Bagan Lalang dan Pantai Tanjung Rhu.

Katanya, polis percaya PATI itu akan dibawa keluar pada malam hari serbuan selepas membayar sejumlah wang kira-kira RM1,800 hingga RM6,000 setiap seorang.

"Siasatan awal mendapati PATI ini kebanyakannya telah berada di Malaysia sejak setahun lalu.

"Mereka dibawa masuk ke rumah transit secara bergilir menaiki kenderaan e-hailing dan pergerakan keluar juga sama menggunakan taktik sama," ujarnya.

Tambah Wan Kamarul, polis percaya suspek tekong darat juga terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah selain memiliki 12 kes lampau bersabit kes narkotik.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63," katanya.