Tolak tepi isu politik, fokus bangunkan negara

Gambar hiasan - Foto 123rf
Gambar hiasan - Foto 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - Berbekalkan beberapa hari lagi sebelum sidang Dewan Rakyat bermula pada 19 Disember depan, pastinya usul undi percaya, perbincangan berhubung ekonomi dan kos sara hidup akan menjadi tumpuan rakyat.

Sidang Dewan Rakyat kali ini merupakan persidangan pertama di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan membincangkan agenda kerajaan dalam memajukan sektor-sektor industri dan ekonomi negara serta menjamin kesejahteraan rakyat.

Salah satu agenda perbincangan Kerajaan Perpaduan sudah tentu akan melibatkan usul undi percaya terhadap Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

Anwar dalam sidang media sulung sebagai Perdana Menteri pada 24 November lalu telah memaklumkan bahawa satu usul undi percaya akan dibentang dalam persidangan Parlimen tersebut bagi menamatkan kemelut berhubung soal keabsahan beliau selaku Perdana Menteri ke-10.

Usul undi percaya terhadap kepimpinan Anwar akan menjadi antara agenda utama pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 yang dijadual berlangsung selama dua hari bermula 19 Disember ini.

Berdasarkan Notis Mesyuarat Pertama yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin untuk edaran kepada ahli-ahli Parlimen, usul itu adalah yang kelapan di bawah aturan urusan mesyuarat.

Namun begitu, apa lebih penting dan menjadi perhatian rakyat dalam perbincangan berkenaan adalah bagaimana usaha Kerajaan Perpaduan dalam menyelesaikan masalah ekonomi yang membebani mereka pada ketika ini.

Pada Khamis, pakar ekonomi telah pun menyenaraikan beberapa langkah penting yang wajar dipandang serius oleh kerajaan dalam menangani kos sara hidup rakyat yang semakin tinggi.

Artikel Berkaitan:

Beberapa langkah tersebut termasuklah melibatkan pendapatan rakyat, harga barangan dan inisiatif kepada golongan-golongan tertentu.

Seharusnya idea-idea dan saranan yang dikemukakan oleh pakar-pakar ekonomi itu perlu dibincangkan dalam sidang Dewan Rakyat.

Ini adalah bagi memastikan supaya semua cadangan dari pelbagai sudut dapat diteliti, dikaji dan diaplikasikan sekiranya ia bersesuaian dengan keadaan negara.

Pada Rabu, Anwar memaklumkan bahawa kerajaan tidak akan menaikkan tarif elektrik bagi pengguna domestik serta industri kecil dan sederhana (IKS) bagi mengelak rakyat terbeban meskipun ia memberi implikasi kewangan kepada negara hampir RM30 bilion setahun.

Usaha itu menunjukkan komitmen kerajaan dalam meringankan beban yang dihadapi oleh rakyat di negara ini.

Bagaimanapun, diharap persidangan Dewan Rakyat pada kali ini tidak dijadikan sebagai tempat untuk berpolitik atau menyerang pihak-pihak tertentu seperti sebelum-sebelum ini.

Sebarang kempen, serangan dan naratif politik perlu diketepikan buat masa ini dan memberi laluan ke arah pembangunan ekonomi, negara dan kesejahteraan rakyat.