Miskin haid, lelaki perlu ambil peduli

No Image Caption
A
A
A

KEPADA individu yang beranggapan masalah haid adalah tabu, isu peribadi, remeh dan berlegar dalam kalangan wanita, barangkali pengakuan pemain biola profesional dari Kampar, Perak yang pernah tular sebelum ini, Endang Hyder, 36, mungkin boleh mengubah pandangan anda.

Cerita Endang, dia sanggup berpuasa semata-mata mahu mengelak kitaran haid. Tindakannya itu bertujuan menjimatkan wang daripada membeli tuala wanita ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Endang dan keluarganya dapat bertahan selama dua tahun dengan simpanan yang ada. Namun, kesempitan hidup memaksanya menjual biola kesayangan dan beralih membeli tuala wanita pakai buang daripada RM60 kepada jenama berharga murah iaitu sekitar RM15, petik sebuah portal.

RM15 barangkali terlalu kecil kepada mereka yang berkemampuan. Namun, bagi Endang, nilai wang itu boleh membeli seekor ayam segar yang mampu mengenyangkan ahli keluarganya selama empat hari!

Tahap keseriusan miskin haid di negara ini turut didedahkan baru-baru ini oleh Sanitary Bank Malaysia. Menurut pertubuhan bukan kerajaan itu, ada remaja perempuan daripada keluarga miskin mengambil jalan singkat untuk hamil bagi mengelak daripada membeli tuala wanita selama sembilan bulan.

Kemiskinan haid didefinisikan sebagai ketidakupayaan mendapat kebersihan asas haid kerana kekangan kewangan.

Justeru, pengumuman Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, Isnin lalu bahawa kementerian itu sedang memulakan inisiatif pemberian tuala wanita secara percuma kepada golongan wanita kurang berkemampuan adalah tepat pada masanya meskipun usaha itu menimbulkan polemik kerana ia akan dimulakan di pejabat menteri berkenaan, bukannya kepada kelompok sasaran.

Isu kemiskinan haid sangat bertepatan dengan kesihatan menstrual dan sistem reproduktif wanita di negara ini, kata Dr Zaliha.

Artikel Berkaitan:

Masalah global

Isu sama turut mendapat perhatian kerajaan Selangor apabila menjadi negeri pertama di negara ini yang memberi tuala wanita secara percuma kepada wanita miskin tegar dengan jumlah peruntukan RM200,000.

Sebelum ini, kerajaan Pusat menerusi Bajet 2022 telah memberi bantuan bulanan kit asas kebersihan diri secara percuma kepada 130,000 remaja perempuan B40.

Beberapa negara di dunia juga telah melakukan inisiatif serupa. Scotland misalnya, memberi akses percuma barangan haid kepada semua wanita, sementara Perancis mengurangkan cukai jualan barangan haid.

New Zealand dan Afrika Selatan mengagihkan tuala wanita secara percuma kepada semua pelajar perempuan di sekolah.

Menurut Bank Dunia, pada 2018 dianggarkan 500 juta wanita dan remaja perempuan berdepan kekangan untuk mendapatkan kemudahan asas kebersihan haid.

Satu kajian antarabangsa mendedahkan, wanita yang mengalami kemiskinan haid berisiko menghidap kemurungan dan kebimbangan setelah usia mereka meningkat.

Namun, krisis kemiskinan haid tidak harus diukur kepada kekangan mendapatkan tuala wanita sahaja. Empat elemen asas yang perlu ditangani kata Pakar Sosiologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Sharifah Fatimah Alzahrah Syed Hussien adalah akses kepada produk sanitari, ilmu dan didikan tentang haid, akses kepada infrastruktur sanitari serta privasi untuk menukar tuala wanita.

Sebagai barometer kesihatan seorang wanita, haid sangat mempengaruhi keadaan fizikal, mental, spiritual, sosial, reproduksi mahupun kesempurnaan ibadah mereka yang beragama Islam.

Perlu difahami, haid adalah proses normal kepada wanita, bukan sumpahan seperti kepercayaan sebahagian masyarakat. Secara biologinya, ia menandakan organ-organ reproduksi wanita itu sihat dan berfungsi.

Sebab itulah, anak-anak perempuan perlu dididik tentang pengurusan haid dan kesihatan reproduktif. Paling penting, sebagai ibu bapa, guru, keluarga, individu atau rakan sekerja, kita wajar bersikap terbuka, ambil tahu dan berilmu.

Mengapa? Supaya ibu, kakak, adik, isteri, anak atau rakan kita tidak berasa malu atau takut untuk bercakap mengenainya.

Kepada lelaki bergelar bapa, abang, adik dan suami, apakah sumbangan kalian dalam merungkai permasalahan sejagat ini?

Sudahkah kalian mengambil inisiatif memperkasa diri dengan ilmu? Jika belum, mulai hari ini, belajar-belajarlah ambil peduli.

* Najibah Hassan ialah Penyunting Sinar Harian