Projek tebatan banjir: Pahang semak dengan kerajaan Pusat

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang akan merujuk dan menyemak semula dengan kerajaan Persekutuan berhubung beberapa projek tebatan banjir yang diumumkan kerajaan terdahulu di negeri ini.

Ia susulan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan beberapa projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion yang diluluskan secara rundingan terus sebelum ini tidak diteruskan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagi projek yang telah diakui janji dan dianugerahkan untuk negeri ini akan diteruskan.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan RM1.8 bilion disediakan menerusi Bajet 2023 untuk projek tebatan banjir dan baik pulih hakisan pantai di Pahang.

Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy berkata, Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM2 juta bagi menghadapi banjir dan jumlah itu akan ditingkatkan bergantung kepada keperluan.

"Jumlah itu tidak termasuk RM47 juta yang diumumkan sebelum ini untuk persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) terutama bagi pembelian aset seperti bot dan pembinaan pusat pemindahan sementara (PPS) kekal," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar pengumuman portfolio barisan Exco Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Rabu.

Wan Rosdy berkata, berdasarkan lawatan beliau ke lokasi banjir di Temerloh, beliau mendapati pengurusan bencana itu berjalan dengan baik dan tersusun.

"Pelbagai kemudahan dan aktiviti disediakan di PPS termasuk untuk kanak-kanak, makanan disediakan juga mencukupi dan sedap," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, bencana banjir yang berlaku tahun ini diharap tidak seteruk tahun lalu dan perkembangannya sentiasa dipantau Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.