'Kami sudah penat hadapi banjir'

Penderitaan mangsa banjir akibat rumah ditenggelami air perlu pindah ke PPS. Gambar kecil dari kiri: Mastura, Nor Hidayah
Penderitaan mangsa banjir akibat rumah ditenggelami air perlu pindah ke PPS. Gambar kecil dari kiri: Mastura, Nor Hidayah
A
A
A

PROJEK Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Kampung Tersang, Rantau Panjang, Kelantan mengakibatkan lebih 2,000 penduduk di daerah itu berpindah sebanyak tiga kali akibat banjir tahun ini.

Projek yang lebih dikenali sebagai tebatan banjir itu kini di peringkat fasa 1 dan siap 64 peratus setakat Ogos lalu, bagaimanapun penduduk sentiasa berada dalam kebimbangan berikutan kemusnahan harta benda dan tanaman musnah akibat banjir.

Wartawan Sinar Harian, ADILA SHARINNI WAHID ke Rantau Panjang, Kelantan pada Ahad bagi menyelami kesedihan yang dialami mangsa banjir dan mendengar harapan mereka terhadap PLSB.

Derita banjir yang selama ini dialami penduduk di lebih 10 kampung di daerah itu kini semakin parah berikutan pembinaan PLSB.

Antara kampung terlibat ialah Kampung Kusar, Kampung Bawah Lembah, Kampung Banggol Keling, Kampung Tersang dan Kampung Bendang Perol.

Seorang tukang urut yang ditemui, Fatimah Meli, 56, mendakwa projek itu menyebabkan dia bersama suami Mohd Sayuti Che Yar, 50, dan dua anak perempuan mereka berusia 23 dan 11 tahun terpaksa berpindah tiga kali tahun ini pada Februari, November dan Disember.

Fatimah yang tinggal di Kampung Kusar, Gual Periuk turut mendakwa banjir paling teruk di kampung itu hanya setinggi 0.5 meter (m) sebelum PLSB dimulakan awal tahun 2018.

“Bagaimanapun pada Februari tahun ini, kami terpaksa berdepan banjir setinggi dua meter yang menyebabkan kerugian RM10,000 kerana kemusnahan harta benda walaupun sudah dialihkan ke tempat lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

“Lebih menyedihkan, mereka yang tinggal di rumah dua tingkat pun turut menjadi mangsa dan berpindah ke PPS,” katanya.

Fatimah (kiri) bersama Mohd Sayuti membawa sebahagian baju di dalam plastik ke PPS.
Fatimah (kiri) bersama Mohd Sayuti membawa sebahagian baju di dalam plastik ke PPS.

Fatimah memberitahu, dia terpaksa memasukkan pakaian ke dalam plastik sebelum meninggalkannya di rumah untuk berpindah ke PPS dengan harapan plastik itu akan terapung, tidak hanyut dan pakaian tersebut boleh digunakan sebaik mereka pulang semula selepas banjir surut.

Suri rumah, Mastura Abdullah, 32, pula berkata, banjir luar jangka pada Februari lalu itu meninggalkan kesan trauma terhadap mereka empat sekeluarga apabila semua harta benda seperti perkakas rumah termasuk televisyen, tilam dan sofa musnah dan sehingga kini belum berganti baharu walau sudah sembilan bulan bencana itu.

“Sebelum ini, musim tengkujuh memang sentiasa dinantikan penduduk sebab seronok boleh main air yang tidaklah terlalu dalam selain tidak perlu berpindah ke PPS.

“Namun kali ini, sudah tiga kali pindah menyebabkan kami penat tak terkata.

“Anak-anak hanya tidur beralaskan selimut dan belum pun cukup duit untuk menggantikan sofa serta televisyen, sudah datang lagi banjir kali ketiga,” katanya.

Menurut pembantu kantin sekolah, Nor Hidayah Ya, 33, pula, keadaan sekeliling berbau hapak kerana banjir lambat surut selain mengakibatkan kulit kaki menjadi gatal.

“Kami pula akan berada lebih lama di PPS apabila air termenung berlaku dalam tempoh yang lama.

“Lebih membebankan apabila berada di PPS yang kerap tiada bekalan air,” katanya.

PLSB Sungai Kelantan Fasa 1 perlu disegerakan

Dalam pada itu, penduduk mencadangkan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa 1 disiapkan oleh kerajaan dengan lebih cepat agar penderitaan mereka berakhir.

Penoreh getah, Mat Aziz Mohd, 54, berkata, projek fasa 1 yang dijadualkan siap pada Ogos 2024 itu sepatutnya menyelesaikan masalah banjir yang dihadapi penduduk setempat sekian lama.

“Penduduk berada dalam kesusahan selagi projek itu tidak siap.

“Kalau PLSB siap lebih awal, bolehlah penduduk menarik nafas lega,” katanya ketika ditemui di Kampung Bawah Lembah, di sini.

Kerja-kerja projek tebatan banjir di sepanjang tebing Sungai Kelantan dekat Kampung Laut sedang giat dilaksanakan. Gambar kecil: Mat Aziz
Kerja-kerja projek tebatan banjir di sepanjang tebing Sungai Kelantan dekat Kampung Laut sedang giat dilaksanakan. Gambar kecil: Mat Aziz

Mat Aziz turut mencadangkan kerajaan negeri mahupun Persekutuan lebih ‘pemurah’ untuk memberikan lebih banyak bantuan kewangan kepada penduduk terjejas banjir sebagai ganti rugi.

“Bagaimanapun kami tetap bersyukur menerima RM1,000 pada Februari lalu walaupun tidak mencukupi untuk membaiki rumah,” katanya.

Projek sepanjang 10 kilometer bernilai RM572 juta itu dijangka dapat mengelakkan lebih 100,000 penduduk di daerah Tumpat, Rantau Panjang, Pasir Mas, Kota Bahru, Tanah Merah dan Machang daripada dipindahkan akibat banjir.

Secara umumnya, pelaksanaan infrastruktur itu terdiri daripada empat komponen utama iaitu Rancangan Tebatan Banjir (RTB), Living River, Saliran Mesra Alam dan Imbangan Air.