PATI India dicekup ketika seberang Sungai Golok

Empat PATI warga India dicekup ketika cuba menyeberangi Sungai Golok untuk memasuki negara ini pada Isnin.
Empat PATI warga India dicekup ketika cuba menyeberangi Sungai Golok untuk memasuki negara ini pada Isnin.
A
A
A

TANAH MERAH - Empat pendatang asing tanpa izin (PATI) warga India dicekup ketika cuba menyeberangi Sungai Golok untuk memasuki negara ini pada Isnin.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan memaklumkan, perbuatan tersebut dikesan pada jam 11.40 pagi ketika mereka menggunakan laluan yang tidak sah di sempadan Malaysia-Thailand.

"Kejadian tersebut berlaku di sektor kawasan tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia.

"Pasukan beroperasi yang sedang melaksanakan Pos Pemerhati telah berjaya menahan empat individu yang telah memasuki negara secara haram dengan menyeberangi Sungai Golok," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, hasil pemeriksaan mendapati empat PATI yang ditahan merupakan warganegara India dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Tambah kenyataan itu, kesemua PATI yang ditahan terdiri daripada seorang wanita dan tiga lelaki berumur antara 25 hingga 39 tahun.

"Turut dirampas adalah tiga telefon bimbit, wang dalam mata wang Malaysia, India dan Thailand dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM4,324.48.

"Kesemua PATI itu diserahkan kepada Balai Polis Bukit Bunga," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pasukan beroperasi akan terus mempertingkatkan rondaan dan kawalan di sempadan bagi mengekang jenayah rentas sempadan khususnya melibatkan PATI.