[VIDEO] Pesta ria tiada lesen, kebenaran operasi - MPKS

Penganjur aktiviti itu hanya mendapat kebenaran daripada pemaju untuk meneruskan operasi di tapak terbabit.

Keratan portal Sinar Harian pada Isnin.
Keratan portal Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

PUNCAK ALAM - Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengesahkan aktiviti hiburan pesta ria (funfair) di Puncak Alam di sini tidak mendapat kelulusan dan lesen operasi daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat berkata, penganjur telah beberapa kali mengemukakan permohonan lesen hiburan, namun didapati tidak lengkap.

Menurutnya, penganjur sepatutnya mengemukakan permohonan lesen dalam tempoh 45 hari kepada Jabatan Perlesenan MPKS bagi mendapatkan ulasan daripada jabatan teknikal lain seperti Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta pihak polis.

"Bagaimanapun, sehingga hari ini tiada ulasan dan sokongan diterima dan mereka beroperasi tanpa kebenaran," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan di tapak pesta ria yang mengakibatkan tiga cedera selepas terjatuh dari satu permainan di taman tema di sini malam Isnin.

Seorang daripada wanita dilaporkan cedera parah, manakala dua lagi masih tidak diketahui status kecederaan.

Rahilah berkata, penganjur aktiviti itu hanya mendapat kebenaran daripada pemaju untuk meneruskan operasi di tapak itu pada 2 Disember lalu hingga 8 Januari.

"Oleh kerana kawasan ini tidak diserahkan lagi kepada MPKS, ia masih lagi di bawah pemilik tanah (pemaju) dan mereka beri kebenaran kepada penganjur untuk (pesta ria) beroperasi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, tegas beliau, pihaknya menjalankan siasatan di bawah Peruntukan 6 (1) Enakmen Hiburan dan tempat-tempat hiburan 1995.

"Kesalahan itu memperuntukkan denda maksimum RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan dan pesta ria turut diarahkan tutup dan tidak boleh beroperasi sepenuhnya," ujarnya.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, tiga daripada mangsa terjatuh daripada permainan dikenali sebagai 'Sotong Ride' ketika sedang bergerak.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 8.50 malam pada Isnin.