Mayat wanita ditemui terapung dalam sungai

ALOR SETAR – Mayat seorang wanita ditemukan terapung di dalam sungai berhampiran Masjid Seberang Pumpong di sini dalam kejadian kira-kira jam 8.27 pagi pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, anggota di Pusat Kawalan Daerah menerima panggilan kecemasan MERS 999 yang memaklumkan penemuan berkenaan.
Menurutnya, siasatan mendapati wanita berkenaan mempunyai tiga anak lelaki yang kini dijaga bekas suami di Kulim.
“Temu bual dengan waris iaitu bapa mangsa memaklumkan wanita berkenaan bekerja sebagai jururadiografi di sebuah klinik di Jitra.
“Mangsa dikatakan mempunyai sejarah sakit mental dan masih menerima rawatan,” katanya.
Syed Basri berkata, maklumat diperoleh memaklumkan kali terakhir mangsa bersama keluarga ialah pada jam 7.31 malam Selasa ketika berbuka puasa.
Bagaimanapun, katanya, siasatan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah.
“Pemeriksaan pada tubuh mangsa juga tidak menemukan sebarang kesan yang boleh dikaitkan dengan jenayah,” katanya.
Beliau berkata, bedah siasat akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian.
Ringkasan AI
- Mayat wanita ditemukan terapung di sungai berhampiran Masjid Seberang Pumpong di Alor Setar
- Anggota polis menerima panggilan kecemasan mengenai penemuan mayat itu
- Wanita tersebut mempunyai tiga anak lelaki dan bekerja sebagai jururadiografi
- Mangsa mempunyai sejarah sakit mental dan sedang menerima rawatan
- Tiada sebarang unsur jenayah ditemui pada tubuh mangsa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

