'Tidak lena tidur setiap kali hujan lebat'

Hatijah menunjukkan longkang besar di hadapan di Jalan Kurniawati.
Hatijah menunjukkan longkang besar di hadapan di Jalan Kurniawati.
A
A
A

JOHOR BAHRU - "Bila hujan lebat, saya tak boleh tidur lena...kejap-kejap tengok ke luar, takut air naik".

Itu reaksi seorang penduduk di Jalan Kurniawati, Kampung Kurnia di sini, Hatijah Sapari, 27, yang masih trauma selepas beberapa kali rumahnya dinaiki air.

Malah katanya, setiap kali rumah dimasuki air, beberapa perkakas seperti karpet, tikar serta perabot mengalami kerosakan.

"Saya memang takut bila hujan, lebih-lebih lagi hujan lebat, tak boleh tidur sebab fikirkan air (akan) naik.

"Biasanya kalau hujan lebat, saya akan ke luar rumah tengok air di longkang besar depan rumah ini naik atau tak. Dulu pernah melimpah sampai ke jalan depan ni.

"Masa nak dekat pilihan raya (Pilihan Raya Umum ke-15) hujan lebat dan air naik sampai paras pinggang saya. Sebab itu bila hujan lebat sekarang ini kita akan bersedia," katanya kepada Sinar Harian.

Untuk rekod pada 7 November lalu, kawasan berkenaan termasuk di Jalan Ole-Oleh di sini pernah dilanda banjir hingga menyebabkan beberapa rumah terutamanya yang berada di kawasan rendah dinaiki air.

Hatijah berkata, dia kini sentiasa bersedia dengan meletakkan kesemua dokumen penting di tingkat atas rumahnya sebagai persiapan awal sekiranya berlaku banjir.

"Saya kumpulkan semua dokumen penting dan letak siap-siap di tingkat atas rumah. Kalau banjir pun barang-barang penting macam ni dah diselamatkan dahulu, janji kita dah 'standby'," katanya.

Salam menunjukkan paras air banjir kilat yang melanda rumahnya 7 November lalu.
Salam menunjukkan paras air banjir kilat yang melanda rumahnya 7 November lalu.

Seorang lagi penduduk di Jalan Kurniawati, Salam Adnan, 72, berkata, dia turut bimbang apabila kawasan di situ dinaiki air terutamanya selepas hujan lebat.

Bagaimanapun katanya, setakat ini rumahnya masih belum terjejas teruk dengan banjir kilat berkenaan.

"Bila hujan lebat sampai beberapa jam, air naik di kawasan ini tapi saya taklah sampai tak tidur. Macam mana pun tetap kena bersedia juga.

"Setakat ini, air hanya masuk di bahagian bawah rumah. Tak ada apa pun di bawah rumah ni..tikar pun tak ada, saya biarkan lapang dengan simen sahaja," katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Kurnia, Mohd Adnan Salka berkata, usaha-usaha bagi menangani banjir telah pun dijalankan dengan kerjasama pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), baru-baru ini.

Katanya, ketika ini kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan berkenaan terutamanya melibatkan kawasan longkang besar di Jalan Kurniawati telah dijalankan.

"Dulu biasanya air naik di sungai atau longkang besar yang membabitkan rumah yang berdekatan dengan sungai atau longkang tersebut.

Pembinaan landasan kereta api berhampiran kawasan kawasan berkenaan dalam proses penyelenggaraan bagi membendung kejadian banjir kilat.
Pembinaan landasan kereta api berhampiran kawasan kawasan berkenaan dalam proses penyelenggaraan bagi membendung kejadian banjir kilat.

"Yang paling teruk banjir di sini adalah pada 7 November 2022. Ia dipercayai setelah kerja-kerja pembinaan landasan keretapi dijalankan di sini, namun ketika ini tapak landasan yang berdekatan dengan surau di Jalan Kurniawati juga dalam proses penyelengaraan" katanya.