Bapa sebak terima ijazah arwah anak

Abdul Malek (lima dari kanan) dan Sabariah (empat dari kanan) menerima Ijazah Anumerta untuk Muhammad Nurshamril daripada Zulkefli.
Abdul Malek (lima dari kanan) dan Sabariah (empat dari kanan) menerima Ijazah Anumerta untuk Muhammad Nurshamril daripada Zulkefli.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang bapa tidak dapat menahan sebak ketika menerima ijazah anaknya yang telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada tahun lalu.

Abdul Malek Abdul Samad, 59, berkata, dia bersama isteri, Sabariah Nawin, 53, serta dua anaknya tiba di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada Ahad untuk menerima Ijazah Sarjana Muda Komunikasi bagi Allahyarham Muhammad Nurshamril Abdul Malek.

Menurutnya, walaupun terkilan arwah anaknya tidak sempat untuk menerima sendiri ijazah tersebut, namun dia berbangga anaknya hampir berjaya menghabiskan pengajian di universiti.

Abdul Malek tidak dapat menahan hiba ketika ditanya media pada sidang media di USM pada Isnin.
Abdul Malek tidak dapat menahan hiba ketika ditanya media pada sidang media di USM pada Isnin.

"Hanya dua semester lagi arwah nak tamatkan pengajiannya, namun ALLAH SWT lebih menyayanginya. Dia anak yang baik, seorang yang tenang, tidak banyak bercakap serta bermatlamat tinggi.

"Dia amat meminati bidang videografi, sama dengan salah seorang abangnya yang kini bekerja sebagai jurukamera di sebuah stesen televisyen swasta," katanya ketika ditemui di Dewan Tuanku Syed Putra, USM di sini pada Isnin.

Abdul Malek dan Sabariah sebelum itu menerima skrol untuk Ijazah Anumerta yang disampaikan Pro-Canselor USM, Tan Sri Dr Zulkefli A Hassan pada Sidang Ke-10 Konvokesyen ke-60 USM.

Bercerita lanjut mengenai anak ketiga daripada tujuh beradik itu, Abdul Malek berkata, Allahyarham Muhammad Nurshamril terlibat kemalangan maut ketika dalam perjalanan pulang dari Setiu, Terengganu ke Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

"Arwah bersama tiga rakannya menaiki Perodua Alza dan dia yang memandu. Dia ke Kelantan kerana terlibat dalam penggambaran filem yang mana, dia bekerja sambilan sebagai jurukamera dengan sebuah produksi filem semasa cuti semester.

"Arwah balik ke Kuala Lumpur kerana cuti semesternya hampir tamat dan dia kena sambung pengajian. Namun ALLAH SWT lebih menyayanginya, saya dan ibunya reda," katanya.

Sementara itu, Sabariah berkata, arwah anaknya seorang yang senang didekati kerana tidak lokek ilmu dan peramah dengan sesiapa sahaja.

"Boleh dikatakan dia mahir dalam bidang videografi dan suntingan. Ramai rakan-rakannya suka mendampinginya untuk belajar ilmu videografi dan suntingan, malah ada dua pensyarah daripada sebuah universiti turut belajar dengannya.

"Arwah banyak belajar dengan abangnya selain dia cekap dalam bidang yang diceburinya, sebab itu dia berkongsi ilmu yang ada dengan rakan-rakannya.

"Arwah ini amat disenangi dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan. Apabila dia tiada, kehilangannya amat dirasainya," katanya sebak.

Tambahnya, Allayarham Muhammad Nurshamril ada menyatakan hasrat untuk menyambung pelajaran di peringkat ijazah sarjana di luar negara, namun tidak kesampaian.

Sebelum ini, media melaporkan seorang kru produksi filem maut sementara tiga parah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas di Kilometer 71, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu berhampiran simpang tiga Kampung Saujana, Terengganu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 petang, Muhammad Nurshamril Abdul Malek, 27, dari Kuala Lumpur yang juga pemandu kenderaan Perodua Alza disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kenderaan dipandu Allahyarham dipercayai gagal dikawal menyebabkannya terbabas dan terlanggar tunggul kayu yang berada di sebelah kiri jalan menghala ke Kuala Terengganu.

Akibat daripada kejadian itu, penumpang hadapan dikenali Kamarul Anuar Mohamed Nasir, 39, dari Petaling Jaya, Selangor serta penumpang belakang, Amir Daniel Suhaimi, 23, dari Kuantan, Pahang retak tulang di bahagian leher.

Sementara itu seorang lagi penumpang belakang kiri Nur Azizi Nazril Abd Aziz, 26, dari Kuala Lumpur putus tangan kiri.