Abdul Azeez bebas sebab tiada fakta memihak kepada pendakwaan

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dibebaskan daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) mendapati, tiada keterangan serta fakta memihak kepada pendakwaan.

Menerusi satu kenyataan media, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun berkata, perkara itu diperoleh selepas perkembangan siasatan telah dirujuk semula kepada pasukan pendakwaan.

Menurutnya, pada 1 Disember lalu, Abdul Azeez memfailkan permohonan untuk dibebaskan dari kesemua pertuduhan.

Setelah kertas siasatan diteliti, beliau berkata, AGC bersetuju untuk tidak meneruskan pertuduhan dan tidak membantah terhadap permohonan pembebasannya, pada Jumaat.

Sejak pertuduhan difailkan di Mahkamah Sesyen di sini, beliau berkata, bekas Ahli Parlimen Baling itu telah mengemukakan beberapa representasi kepada AGC, agar kes pendakwaan terhadapnya ditarik balik dan kesemua pertuduhan dibatalkan.

"Berdasarkan surat representasi bertarikh 11 dan 16 Mac lalu, pihak pendakwaan telah menerima enam akuan berkanun daripada saksi-saksi utama pendakwaan.

"Ini menyebabkan siasatan yang menyeluruh dan teliti perlu dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana ada bukti baharu yang tidak dipertimbangkan sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, pendakwa raya memohon kepada mahkamah satu perintah pelepasan tanpa terjumlah kepada pembebasan sebagai mana mengikut Seksyen 254(2) Kanun Tatacara Jenayah (CPC) agar siasatan lanjut dapat dibuat.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu katanya, mahkamah telah membenarkan tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

Pada 16 Januari 2019, Abdul Azeez telah didakwa atas tiga pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 membabitkan RM5.2 juta dan sembilan pertuduhan bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Rasuah Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) 2009, berjumlah RM139,416,664.85.

Ia dikatakan terlibat dalam membantu syarikat-syarikat kontraktor memperoleh projek-projek kerajaan.

Perbicaraan kes itu bermula 19 Ogos 2020 dengan tujuh saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Pada 7 September 2020, pihak pendakwaan telah membuat pindaan ke atas sembilan pertuduhan itu, di bawah AMLATFPUAA dan menambah satu pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2009 dengan nilai kesalahan berjumlah RM13,433,985.25.

Perbicaraan telah ditangguhkan kerana pihak pembelaan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini, untuk membatalkan pertuduhan-pertuduhan tersebut, namun ia ditolak.

Abdul Azeez yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi itu, telah merayu di Mahkamah Rayuan bagi mengetepikan dan membatalkan semua pertuduhan berkenaan.

Mahkamah Rayuan kemudiannya memutuskan untuk menolak rayuan Abdul Azeez selaku perayu.

Bagaimanapun, pemimpin UMNO itu dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan pindaan ketiga, ketujuh, kelapan dan kesembilan.