DBKL ambil tindakan peniaga salah guna laluan pejalan kaki

(Gambar kiri): Aduan di Twitter oleh seorang pengguna tentang masalah laluan pejalan kaki dijadikan tempat berniaga. (Gambar kanan): GDBKL ambil tindakan selepas tular laluan pejalan kaki dijadikan tempat berniaga.
(Gambar kiri): Aduan di Twitter oleh seorang pengguna tentang masalah laluan pejalan kaki dijadikan tempat berniaga. (Gambar kanan): GDBKL ambil tindakan selepas tular laluan pejalan kaki dijadikan tempat berniaga.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan terhadap peniaga yang menjadikan laluan pejalan kaki LRT Wangsa Maju sebagai tapak niaga mereka.

Baru-baru ini seorang pengguna meluahkan rasa tidak puas hati terhadap peniaga yang meletakkan beberapa buah meja dan kerusi di laluan pejalan kaki berbumbung tersebut.

“Laluan pejalan kaki berteduh daripada hujan dan panas (tapi peniaga) buat bumbung meja makan kedai kau,” tulisnya.

Menerusi kemas kini di Facebook DBKL, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menasihatkan peniaga untuk prihatin dan peka terhadap keselesaan pengguna.

"DBKL sedar akan keperluan sebahagian dari anggota masyarakat di Kuala Lumpur ini untuk mencari rezeki melalui aktiviti penjajaan.

"Tapi dalam kita nak mencari rezeki, kena prihatin dengan keselesaan pihak lain juga seperti pengguna jalan raya dan pejalan kaki.

"Jangan disebabkan kita berniaga di situ, timbul masalah kesesakan lalu lintas, pejalan kaki tak dapat gunakan laluan berbumbung yang disediakan untuk mereka dan sebagainya," menurut kemas kini tersebut pada Jumaat.

DBKL menjelaskan, tindakan penguatkuasaan akan dilakukan sekiranya banyak aduan diterima seperti kes laluan berbumbung LRT Wangsa Maju.

Artikel Berkaitan:

"Kepada kelompok penjaja di Kuala Lumpur dinasihatkan patuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh DBKL dalam menjalankan aktiviti menjaja.

"Kalau peraturan dipatuhi semua lapisan masyarakat akan gembira. Sama-sama nak hidup selesa kan?, katanya.