Dua wanita Thailand antara lapan 'scammer' ditahan

Antara peralatan yang dirampas disyaki digunakan dalam aktiviti penipuan berkenaan. - Foto PDRM (Gamabr dalam : Ashari)
Antara peralatan yang dirampas disyaki digunakan dalam aktiviti penipuan berkenaan. - Foto PDRM (Gamabr dalam : Ashari)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kegiatan satu sindiket penipuan pelaburan dalam talian terbongkar selepas pusat panggilan mereka digempur polis dalam serbuan di dua buah kediaman di Jalan Ampang di sini, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) berjaya menahan enam suspek lelaki dan dua wanita dalam serbuan jam 12.30 tengah hari itu.

"Hasil serbuan tersebut, pihak polis berjaya membuat tangkapan terhadap seorang lelaki tempatan, lima lelaki warganegara Taiwan dan dua wanita warganegara Thailand.

"Kesemua suspek berusia lingkungan 19 hingga 37 tahun disyaki terlibat dalam aktiviti penipuan pelaburan dalam talian yang menyasarkan mangsa di luar negara," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ashari berkata, pasukan serbuan turut merampas pelbagai peralatan termasuk enam unit komputer, dua komputer riba dan 26 buah telefon bimbit disyaki digunakan untuk kegiatan terbabit.

Katanya, kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran pelaburan yang tidak jelas dan menjanjikan keuntungan yang lumayan.

"Sebarang jenayah atau aktiviti yang mencurigakan, sila berikan maklumat dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585, CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559/1599 atau balai berdekatan," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: