Sentimen PN punca PH-BN tewas dan menang tipis

Ahmad Martadha
Ahmad Martadha
A
A
A

SHAH ALAM - Kekalahan Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Padang Serai dan kemenangan tipis Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukan disebabkan penolakan atau pembentukan Kerajaan Perpaduan tetapi lebih kepada sentimen yang dibawa oleh Perikatan Nasional (PN).

Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, naratif yang dibawa oleh PN adalah membentuk kerajaan bersih dan stabil tanpa bergabung dengan DAP.

Menurut beliau, susulan daripada itu rakyat merasakan perlu ada perubahan dengan memberi sokongan kepada parti pembangkang dalam pilihan raya di Padang Serai dan Tioman.

"Pada saya terlalu awal jika ingin mengatakan rakyat menolak pembentukan Kerajaan Perpaduan. Ini adalah rentetan kempen PN pada PRU15 ditambah dengan pelbagai isu panas beberapa kepimpinan parti Kerajaan Perpaduan.

"Lihat pola pengundian orang Melayu, cukup ketara bukan sahaja di kawasan kampung malah di kawasan bandar juga. Sebanyak 70 peratus pengundi melayu cenderung untuk memberi undi mereka kepada Pas atau Bersatu.

"Masyarakat Melayu sangat sensitif dengan DAP. Apa akan jadi dengan Islam dan ketuanan Melayu sekiranya kerajaan bergabung dengan parti itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Sinar Live bertajuk 'Isyarat dari Padang Serai, Tioman' yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Khamis.

Keputusan Pilihan Raya Umum Padang Serai menyaksikan kerusi tradisi yang menjadi milik PH itu turut tumbang kepada PN, yang dimenangi oleh Datuk Azman Nasrudin dengan majoriti 16,260 undi.

Artikel Berkaitan:

Pada PRU15 lalu, PN menyapu bersih hampir keseluruhan kerusi Parlimen di Kedah dengan membolot 13 kerusi, hanya Parlimen Sungai Petani dimenangi PH, iaitu Dr Taufiq Johari.

Bagi DUN Tioman pula menyaksikan BN berjaya mempertahankan kubu kuatnya itu meskipun calonnya, Datuk Seri Mohd Johari Hussain mendapat majoriti tipis, 573 undi.

Tambah Ahmad Martadha, pemimpin Melayu terutamanya dalam kalangan UMNO perlu mempertahankan dan melindungi Islam dan orang Melayu.

"Masyarakat mengharapkan supaya semua pemimpin parti Melayu akan pastikan hak-hak keistimewaan mereka terpelihara dan tidak diganggu gugat oleh bangsa lain," jelasnya.