Pulau Pinang bakal ada perkhidmatan teksi air

Zairil (kiri) menunjukkan pelan cadangan lokasi jeti yang bakal dilaksanakan perkhidmatan teksi air di Pulau Pinang.
Zairil (kiri) menunjukkan pelan cadangan lokasi jeti yang bakal dilaksanakan perkhidmatan teksi air di Pulau Pinang.
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Pulau Pinang bakal mempunyai perkhidmatan teksi air lengkap yang dijangka beroperasi pada 2024.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, perkhidmatan tersebut merupakan mod pengangkutan awam baharu yang boleh digunakan oleh orang awam di Pulau Pinang.

Menurutnya, perkhidmatan teksi air itu juga antara yang terkandung dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai RM46 bilion.

"Perkhidmatan teksi air ini bakal dijadikan satu akses tambahan kepada orang awam untuk perjalanan jarak jauh di kawasan bandar. Contohnya perjalanan transit kerja, urusan kerajaan, aktiviti harian, urusan peribadi dan sebagainya.

"Selain itu, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan pulau. Di samping itu, cadangan perkhidmatan teksi air ini juga bertujuan menggalakkan aktiviti pelancongan di Pulau Pinang," katanya pada sidang akhbar di Komtar pada Jumaat.

Susulan daripada itu, kerajaan negeri bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah membuka Request For Proposal (RFP) untuk syarikat-syarikat yang berminat untuk menyertai tender projek tersebut.

Zairil berkata, syarikat yang ingin menyertai RFP itu dikehendaki mematuhi syarat dan keperluan seperti yang dinyatakan di dalam dokumen RFP.

"Syarikat yang berminat perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) serta mempunyai modal berbayar (paid up capital) sekurang-kurangnya RM500,000 untuk menyertai RFP ini.

Artikel Berkaitan:

"RFP akan dibuka pada 12 Disember ini dan ditutup pada 27 Februari 2023. Syarikat yang berminat perlu berdaftar dengan Sistem Perolehan Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui laman web https://ep.penang.gov.my untuk membeli dokumen RFP ini.

"Dokumen RFP hanya dijual secara dalam talian melalui laman web tersebut dan perlu dibeli serta dimuat turun melalui akaun perolehan masing-masing sebagai pengesahan pembelian," katanya.

Menurut beliau, syarikat diwajibkan menghadiri sesi penjelasan RFP pada 19 Disember ini sebelum membeli dokumen RFP.

"Walaupun kita sudah mempunyai cadangan lokasi jeti iaitu di Batu Maung, Straits Quay, Terminal Pelayaran Swettenham Pier dan Pulau Jerejak, namun syarikat yang menyertai RFP perlu mencadangkan lokasi jeti yang dirasakan sesuai.

"Selain itu, syarikat perlu menyediakan Laporan Awal Kebolehupayaan Kajian, jenis dan spesifikasi feri atau bot yang akan digunakan, model kewangan dan tempoh pelaksanaan projek," katanya.

Pulau Pinang sedang melihat untuk melaksanakan PTMP yang mengandungi projek Transit Aliran Ringan (LRT), tiga jalan berkembar, terowong dasar laut dan beberapa lagi sebagai sebahagian daripada usaha mengatasi masalah kesesakan trafik yang semakin buruk.

Sementara itu, mengulas mengenai gesaan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) agar PTMP dikaji semula oleh pakar antarabangsa, Zairil berkata, perkara itu dilihat tidak perlu.

Jelasnya, semua cadangan yang terkandung dalam PTMP masih boleh dipinda mengikut kesesuaian keadaan semasa.

"Sejak PTMP dicadang dan direka bentuk, memang ada penyertaan daripada perunding antarabangsa. Oleh demikian, saya rasa gesaan yang dibuat pihak NGO itu tidak diperlukan lagi. Isu ini tidak sepatutnya dibangkitkan.

"Tambahan pula, cadangan di dalam PTMP ini hanya cadangan, tidak semestinya kita ikut bulat-bulat. Setiap pelaksanaan cadangan projek akan disusuli dengan Laporan Awal Kebolehupayaan Kajian selain ia masih boleh dipinda mengikut keadaan semasa," katanya.

Pada Khamis, Penang Forum, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan NGO berkaitan alam sekitar mencadangkan kerajaan pusat mengkaji semula PTMP dengan penyertaan pakar antarabangsa bagi mencari penyelesaian mampan berhubung projek itu.

Dalam pada itu, Zairil berkata, PTMP perlu dilaksanakan demi masa depan rakyat di Pulau Pinang.

"Kita perlu teruskan pelaburan dalam projek-projek infrastruktur seperti yang dicadangkan dalam PTMP demi kepentingan rakyat.

"Keadaan kemelesetan ekonomi global adalah waktu untuk kerajaan negeri melabur dalam perbelanjaan peruntukan terutamanya melibatkan infrastruktur.

"PTMP juga dijangka mencipta limpahan ekonomi serta peluang pekerjaan yang lebih banyak. Projek mega ini bukan satu pembaziran malah ia sebagai pelaburan masa depan yang kita perlukan," katanya.