My #QuranTime 2.0 tampilkan 2,111 episod

Kira-kira 8,000 peserta menyertai Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 pada 8 Oktober lalu bertempat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
Kira-kira 8,000 peserta menyertai Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 pada 8 Oktober lalu bertempat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
A
A
A

SHAH ALAM - Musim terbaharu program pemahaman al-Quran, My #QuranTime 2.0 (MQT 2.0) kembali bersiaran setiap hari selama sejam bermula 14 Disember ini di semua platform digital Sinar Harian dan My #QuranTime Official.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, program tersebut yang bakal memberikan fokus kepada tiga elemen utama iaitu 'Quran, Solat dan Infak' akan bersiaran selama 2,111 episod.

Menurutnya, program terbaharu itu dilaksanakan dengan matlamat untuk mempertingkatkan kualiti solat melalui bacaan bertajwid, menambahkan pemahaman dan hafalan al-Quran orang ramai.

“Jadi sekarang ini kita akan pergi lebih mendalam. Teknik diajar oleh qari dan pentadabbur dalam program ini meliputi aspek membantu penonton untuk menghafal al-Quran.

Hussamuddin
Hussamuddin

“Bayangkan apabila ramai orang boleh hafal ayat-ayat dalam al-Quran ini, dengan sendirinya kita akan lihat suasana yang biasa kita lihat apabila pergi ke Makkah iaitu orang Arab apabila solat dia menangis.

“Suasana itu insya-ALLAH dalam dua ke lima tahun lagi kita boleh tengok di Malaysia, orang solat berjemaah menangis apabila al- Quran dibaca kerana mereka boleh hafal dan faham makna yang terkandung itu,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Hussamuddin berkata, siaran MQT kali ini dilancarkan di semua platform digital Yayasan WUI dan Kumpulan Karangkraf sebagai pendekatan untuk menarik lebih ramai segmen orang muda selain golongan dewasa, penonton setia dan baharu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia meliputi platform sosial media YouTube, Facebook, Twitter dan Instagram.

Menurut beliau, dengan pendekatan penyiaran digital itu juga, penonton dan orang ramai boleh menjadikannya sebagai satu kelas pembelajaran besar yang boleh diakses di rumah masing-masing.

Sementara itu, beliau berkata, MQT 2.0 turut memberikan penekanan terhadap elemen infak melalui usaha menghidupkan amalan wakaf dalam kalangan masyarakat.

Jelasnya, penerbitan progam itu kali ini juga disokong 100 peratus daripada program wakaf yang diuruskan oleh WUIF termasuk daripada Tabung Gerakan Al-Quran meliputi hasil daripada sumbangan badan korporat dan orang ramai.

Katanya, keseluruhan penerbitan MQT 2.0 yang turut membabitkan kehadiran peserta secara fizikal itu turut dijalankan di studio Kompleks Karangkraf, Seksyen 15, di sini.

“Penyumbang yang selama ini beri RM1 atau RM2 mereka boleh melihat hasil sumbangan mereka dan dapat barakah daripada wakaf. Jadi ini merupakan sebuah wakaf yang hidup. Selagi program ini ada, saya kira pahala itu akan mengalir kepada mereka.

“Bayangkan hasil daripada wakaf mereka ini, ia boleh memberi manfaat yang sangat banyak kepada penyumbang dan ummah yang menonton,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hussamuddin berkata, WUIF membuka peluang kepada semua stesen televisyen dalam dan luar negara untuk menayangkan MQT 2.0 agar program itu mendapat liputan yang lebih meluas.

Menurut beliau, rundingan kini sedang dilakukan bersama beberapa stesen televisyen manakala usaha bagi berhubungan dengan media di Brunei, Singapura dan Indonesia juga sedang dijalankan.

“Kami harap tiga atau empat stesen televisyen besar akan siar secara serentak, mungkin dengan masa yang berbeza-beza,” katanya.