Geng Patah, Geng Ajib aktif curi motosikal tumpas

Mohamad Farouk melihat motosikal curi yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Ampang Jaya pada Rabu.
Mohamad Farouk melihat motosikal curi yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Ampang Jaya pada Rabu.
A
A
A

AMPANG - Polis berjaya menumpaskan dua sindiket curi motosikal dikenali sebagai Geng Patah dan Geng Ajib apabila menahan lapan individu di beberapa lokasi berasingan di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan sejak 25 November lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk berkata, penahanan kesemua suspek berusia 24 hingga 40 tahun itu dilakukan menerusi Op Lejang.

Menurut beliau, empat lelaki yang merupakan ahli Geng Patah dipercayai aktif melakukan jenayah sejak tahun lalu ditahan dalam serbuan di Gombak dan Sentul.

"Dalam serbuan itu, kita merampas dua motosikal Honda EX5 dan sebuah motosikal Yamaha LC135 bersama satu rangka motosikal yang dilaporkan hilang sebelum ini, selain pelbagai komponen motosikal," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sini, pada Rabu.

Mohamad Farouk memberitahu, modus operandi geng itu adalah mereka menyasarkan motosikal jenis Honda EX5 yang diparkir di kawasan flat dan kaki lima bangunan yang tiada pengawal keselamatan.

Jelas beliau, polis juga berjaya menahan empat lelaki merupakan ahli Geng Ajib berusia 24 hingga 34 tahun di Gombak, Rantau dan Linggi, Negeri Sembilan.

"Kita turut merampas tiga motosikal iaitu sebuah motosikal Yamaha LC dan dua motosikal Yamaha 125ZR serta pelbagai komponen motosikal termasuk dua enjin motosikal," katanya.

Tambah beliau, Geng Ajib aktif melakukan kegiatan curi motosikal di sekitar Ampang Jaya sejak tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini, sebanyak empat kes dilaporkan membabitkan Geng Ajib yang menyasarkan motosikal jenis Yamaha 125ZR," katanya.

Mohamad Farouk berkata, siasatan mendapati kedua-dua geng curi motosikal itu menjual komponen kepada rakan dikenali atau secara dalam talian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.