Lelaki kutip derma ditahan

 Operasi yang dilakukan oleh PKMD Yan.
Operasi yang dilakukan oleh PKMD Yan.
A
A
A

YAN - Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Yan, menahan seorang lelaki yang sedang meminta derma di hadapan sebuah bank di Pekan Guar Chempedak.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Yan, Norashikin Idris berkata, pihaknya menahan lelaki itu ketika menjalankan operasi bersepadu menyelamat pengemis dan orang papa, semalam.

Katanya, operasi tersebut mendapat kerjasama baik daripada pihak polis, Majlis Daerah Yan, Pejabat Agama, Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara.

“Lelaki itu ditahan kerana meletakkan sebuah kotak di hadapan bank sambil menunggu orang ramai memasukkan wang ke dalam kotak berkenaan,” katanya.

Katanya, hasil siasatan mendapati jumlah wang yang terdapat di dalam kotak itu sebanyak RM231.

“Lelaki berumur 40-an itu merupakan orang tempatan dan dipercayai sudah lama melakukan pekerjaan itu.

“Pihak PKMD telah mengambil tindakan menyerahkan individu berkenaan kepada keluarganya,” katanya.

Menurut Norashikin, antara lokasi yang menjadi serbuan PKMD ialah pasar malam Guar Chempedak, persekitaran bank di pekan Guar Chempedak, persekitaran Guar Utama, stesen bas dan persekitaran masjid Guar Chempedak.

Artikel Berkaitan:

Tambah Norashikin, ini adalah operasi bersepadu yang diadakan dua kali setahun bagi memastikan orang ramai tidak mudah tertipu dengan kewujudan golongan sebegini.