'Saya sudah bayar Mahfuz, tiada kaitan kutip derma' - Sanusi

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan telah membayar ganti rugi yang diarahkan mahkamah kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau turut menafikan mempunyai kaitan dengan individu yang didakwa mengutip derma bagi pihaknya untuk membayar kos tuntutan fitnah tersebut.

Menurutnya, aktiviti kutipan derma berkenaan di luar pengetahuannya selain tidak mengenali individu berkenaan.

“Saya bayar dah. Saya tak tahu siapa dia? Kes itu (kutipan derma) tidak terbabit dengan saya dan saya tidak terbabit dengan kegiatan itu. Mungkin dia simpati pada saya,” katanya ketika ditanya mengenai dakwaan yang tular di media sosial.

Tular di media sosial melalui aplikasi TikTok rakaman video seorang individu bersama bekas tertulis ‘Tabung Sanusi bayar saman fitnah’ untuk mengutip derma bagi membantu Muhammad Sanusi membayar denda berhubung kes tuntutan fitnah oleh Mahfuz.

Menerusi rakaman tersebut, individu terbabit juga memberi amaran kepada Muhammad Sanusi supaya berusaha melunaskan bayaran itu.

Sebahagian netizen menyifatkan video berkenaan sengaja dicipta untuk memperlekehkan dan menjejaskan nama baik Muhammad Sanusi.

Sementara, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah, Mohamad Hilmi Abdul Wahab dalam kenyataan memaklumkan, penularan video berkenaan adalah satu pembohongan dan cubaan berniat jahat untuk menjejaskan imej Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu.

“Saya menafikan wujudnya tabung kutipan derma daripada pihak Menteri Besar Kedah atau PN.

“Kami akan membuat laporan polis dalam masa terdekat dan berharap pihak yang bertanggungjawab menyiasat dan segera ambil tindakan tegas kepada individu berkenaan,” katanya.

Pada 3 April, Muhammad Sanusi gagal dalam rayuan saman fitnah yang difailkan Mahfuz, sebaliknya permohonan Mahfuz untuk menaikkan jumlah bayaran ganti rugi diluluskan daripada RM50,000 kepada RM120,000.

Pada 23 April, bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu mengingatkan Muhammad Sanusi agar membayar segera ganti rugi seperti diputuskan Mahkamah Rayuan Putrajaya susulan beliau belum melunaskan tuntutan tersebut walaupun tempoh pembayaran ditetapkan 14 hari daripada proses penghakiman.

Pada 6 Mei, Muhammad Sanusi memaklumkan telah menyerahkan wang pampasan fitnah kepada peguamnya untuk mengendalikan perkara itu dengan peguam Mahfuz, selain menyifatkan Mahfuz tidak perlu menggunakan media sosial berhubung perkara itu.

Mahfuz memfailkan saman pada 9 Oktober 2019 berdasarkan hantaran dibuat Muhammad Sanusi melalui akaun Facebook pada 30 Julai 2019, yang mengaitkan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu dalam isu pemindahan premis judi Sport Toto ke kawasan Pokok Sena.