Bekalan telur ayam mencukupi di Negeri Sembilan: KPDNKSH

Pemeriksaan berterusan daripada KPDNKSH Negeri Sembilan.
Foto KPDNKSH NS)
Pemeriksaan berterusan daripada KPDNKSH Negeri Sembilan. Foto KPDNKSH NS)
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) Negeri Sembilan memberi jaminan bekalan telur ayam di negeri ini mencukupi walaupun terdapat permintaan dan pembelian yang tinggi daripada pengguna sejak akhir-akhir ini.

Pengarahnya, Muhammad Zahir Mazlan berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan pengguna media sosial berhubung kesukaran mendapatkan bekalan telur ayam di pasaran di beberapa tempat di Negeri Sembilan.

"Susulan situasi ini, lawatan dan pemantauan di peringkat ladang pengeluaran telur ayam telah dilakukan dan mendapati pengeluaran di peringkat ladang adalah berada di tahap yang optimum.

"Justeru, pembekalan telur ayam kepada peringkat pemborong dan peruncit tidak menghadapi masalah. Namun begitu, didapati terdapat permintaan dan pembelian yang tinggi sejak akhir-akhir ini daripada pengguna," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut beliau berkata, ini menjadikan telur ayam di sesebuah premis runcit ataupun pasar raya habis terjual dalam masa yang singkat.

"Terdapat juga pasar raya yang terpaksa mengambil inisiatif mengehadkan pembelian untuk setiap pembeli supaya lebih ramai berpeluang mendapatkan bekalan telur ayam di premis tersebut," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, menerusi pemeriksaan khas di bawah Ops Ayam, Telur Ayam dan Minyak Masak (OPS ATM), sebanyak 1,669 pemeriksaan premis telah dilaksanakan bermula 23 Jun lepas sehingga Selasa.

KPDNKSH Negeri Sembilan jamin bekalan telur ayam mencukupi.
(Foto KPDNKSH NS)
KPDNKSH Negeri Sembilan jamin bekalan telur ayam mencukupi. (Foto KPDNKSH NS)

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan rekod pemantauan stok bekalan telur ayam daripada 30 November lepas sehingga Selasa pula, sebanyak 1.83 juta biji telur ayam pelbagai gred berada di pasaran untuk menampung keperluan pengguna di negeri ini.

"Sehubungan itu, pengguna dinasihati supaya membuat pembelian telur ayam dan juga barang keperluan lain seperti ayam secara biasa dan dalam kuantiti yang diperlukan sahaja.

"Sekiranya para pengguna membuat pembelian secara panik dengan kuantiti yang banyak, ia akan menyebabkan gangguan rantaian bekalan setempat secara tiba-tiba," katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna untuk menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang kepada pihak kementerian melalui saluran yang ditetapkan seperti Whatsapp 019-279 4317, Portal e-aduan.kpdnhep (https://eaduan.kpdnhep.gov.my) dan Call centre 1 800 886 800.