Bekas ketua balai polis mengaku terima suapan

Abdul Halim (tengah) ketika keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa.
Abdul Halim (tengah) ketika keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Bekas ketua balai polis didenda RM6,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menerima suapan dari pusat hiburan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Abdul Halim Alias, 59, selepas mengaku bersalah setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Elesabet turut memerintah tertuduh dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai seorang penjawat awam, iaitu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat sub-inspektor, telah mendapatkan untuknya sesuatu benda berharga iaitu wang tunai RM6,000 tanpa balasan daripada Hang Kah Joon, yang diketahui mempunyai hubungan dengan kerja rasmi dengannya.

Perbuatan itu dilakukan pada jam lebih kurang jam 5 petang hingga 6.15 petang di pejabatnya di dalam Balai Polis Tengkera, pada 11 Ogos 2020.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda paling minimum tanpa penjara kerana tertuduh begitu menyesali perbuatannya yang turut dipulau keluarga selain akan bersara tidak lama lagi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah bagaimanapun meminta mahkamah mengambil kira kepentingan awam.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah juga bersetuju pertuduhan lain digugurkan atau diambil kira sebagai Take Into Consideration (TIC) selepas dipohon pihak pendakwaan susulan pengakuan tertuduh.