'Dakwaan dana pilihan raya PN dari syarikat judi tidak berasas'

Nurul Amin
Nurul Amin
A
A
A

ALOR SETAR - Pemuda Pas Kedah menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membayangkan sebahagian dana pilihan raya Perikatan Nasional (PN) datang daripada syarikat perjudian sebagai tidak berasas dan prejudis.

Ketuanya, Nurul Amin Hamid berkata, tuduhan berat seumpama itu tidak wajar keluar daripada pemimpin nombor satu negara kerana bersifat serangan terhadap PN.

Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Padang Terap, tuduhan itu sebenarnya menambahkan lagi ketidakstabilan politik tanah air di saat rakyat tertunggu-tunggu pengumuman berhubung agenda pembangunan bagi memperkasakan ekonomi negara.

"Seharusnya, di awal pentadbiran beliau yang tidak sampai dua minggu ini, perlu fokus agenda memperkasakan ekonomi rakyat.

"Sebagai contoh rakyat masih menunggu pengumuman harga minyak turun, kadar bayaran tol dimansuhkan, pendidikan percuma atau apa saja pengumuman yang pernah menjadi retorik semasa beliau galak berkempen suatu ketika dulu," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Nurul Amin yang juga Ketua Pemuda PN Kedah berkata demikian mengulas laporan media pada Isnin bahawa Anwar membayangkan sebahagian dana pilihan raya untuk parti Melayu dan parti Islam datang daripada syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

Kata Anwar, Kementerian Kewangan juga mendapati 'pelanggaran' dalam pemberian kontrak berjumlah RM600 bilion tanpa tender yang dikatakan berlaku semasa era kerajaan PN.

Jelas Nurul Amin, Anwar dilihat muflis idea bernas untuk menggembirakan rakyat dengan agenda pembangunan dan kemajuan selain daripada memberi tohmahan palsu kepada pihak pembangkang.

Artikel Berkaitan:

"Ternyata Anwar hanya pemimpin retorik, bukan sang reformis seperti dipentaskan suatu ketika dahulu," ujar beliau lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!