MAIS agih fidyah RM3.3 juta

Nurhani
Nurhani
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengagihkan bantuan fidyah sebanyak RM3.3 juta kepada umat Islam yang memerlukan sejak Januari hingga November lalu.

Timbalan Setiausaha (Operasi) MAIS, Nurhani Salwa Jamaluddin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM1.5 juta diagihkan kepada 14,333 penerima melalui sumbangan berupa kotak makanan asas mengandungi beras, susu, gula, tepung dan minyak masak.

Jelas beliau, sebanyak RM1.8 juta adalah sumbangan tunai berjumlah RM100 hingga RM300 yang disalurkan kepada 6,598 penerima yang layak.

"Sebagai organisasi Islam yang prihatin, MAIS telah membantu seramai 20,931 penerima dalam kalangan fakir miskin atau miskin sementara yang memenuhi syarat yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Nurhani memberitahu, antara syarat itu pemohon mestilah mempunyai pendapatan seisi rumah kurang dari RM1,500 atau fakir miskin yang didaftarkan di bawah Lembaga Zakat Selangor (LZS).

"Selain itu, mereka yang dibuang kerja atau berhadapan dengan pengurangan gaji sehingga 50 peratus dan golongan ditimpa musibah atau bencana," kata beliau.

Menurut Nurhani, program agihan fidyah itu dilaksanakan oleh Unit Agihan Fidyah MAIS dengan kerjasama Rakan Strategik Fidyah MAIS (RSFM) yang terdiri daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras), Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK), masjid dan surau di daerah terlibat.

Justeru, katanya, MAIS berharap sumbangan diterima itu sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban yang perlu ditanggung oleh setiap ketua keluarga dan meringankan kos perbelanjaan seharian.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai yang ingin membuat bayaran fidyah, bolehlah melayari laman web MAIS di www.mais.gov.my.

Bayaran boleh dibuat terus secara atas talian menerusi link http:fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php.