378 kes dera kanak-kanak di Pahang

Zulkhairi (dua dari kiri) merasmikan majlis sambutan hari kanak-kanak peringkat negeri Pahang 2022 pada malam Sabtu.
Zulkhairi (dua dari kiri) merasmikan majlis sambutan hari kanak-kanak peringkat negeri Pahang 2022 pada malam Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang merekod 378 kes penderaan membabitkan kanak-kanak dalam tempoh hampir 11 bulan tahun ini.

Pengarahnya, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin berkata, daripada jumlah terbabit sebanyak 276 kes melibatkan serangan seksual, penderaan fizikal dan emosi bagi kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.

Menurutnya, kes membabitkan pengabaian pula direkod sebanyak 61 kes, kanak-kanak yang dibuang atau tiada ibu bapa (17 kes) dan lain-lain penderaan sebanyak 27 kes.

"Berdasarkan data, daerah Kuantan mencatat kes penderaan dan pengabaian tertinggi iaitu 168 kes," katanya.

Beliau sebelum itu merasmikan majlis sambutan hari kanak-kanak peringkat negeri Pahang 2022 pada malam Sabtu.

Program itu disertai lebih 100 kanak-kanak membabitkan dua rumah kanak-kanak kendalian JKM, turut diadakan penyampaian sijil pelantikan dan penghargaan ahli Lembaga Pelawat Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah di sini.

Zulkhairi berkata, JKM memandang serius isu berkaitan kanak-kanak yang berlaku di negeri ini.

Tegasnya, pelbagai usaha dilakukan dalam memastikan kes penderaan tidak terus berlarutan berlaku.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, perlakuan ke atas mangsa kebiasaan dilakukan ahli keluarga, selain itu, jiran dan rakan mangsa turut mengambil kesempatan.

"Situasi ini (penderaan) berlaku atas pelbagai faktor, antaranya kesempitan hidup, sikap panas baran dan tekanan," katanya.

Sehubungan itu, JKM mengambil inisiatif memberi kesedaran kepada kanak-kanak supaya berkongsi maklumat, jika sekiranya menjadi mangsa penderaan.

Selain itu, kerjasama daripada semua pihak diperlukan bagi membantu mangsa mendapat pembelaan sewajarnya.

"Kita minta pihak yang mengetahui berlaku kes penderaan terhadap kanak-kanak supaya menyalurkan maklumat kepada JKM daerah dan negeri atau menghubungi pihak polis.

"Kerjasama semua pihak sama ada kerajaan, sektor swasta, korporat, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat amat diperlukan dalam usaha memberi perlindungan pada kanak-kanak khususnya mereka yang memerlukan bantuan serta sokongan," jelas Zulkhairi.