Harapan besar rakyat terhadap kabinet Kerajaan Perpaduan

Barisan Menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan menandatangani Surat Cara Pelantikan selepas mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. - Foto Bernama
Barisan Menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan menandatangani Surat Cara Pelantikan selepas mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. - Foto Bernama
A
A
A

PENGUMUMAN barisan kabinet kerajaan baharu pada Jumaat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya menjawab segala teka-teki siapakah Timbalan Perdana Menteri dan menteri yang dilantik untuk mentadbir negara dalam tempoh lima tahun lagi.

Anwar mengumumkan Kabinetnya merangkumi 28 kementerian dengan beliau dan dua Timbalan Perdana Menteri masing-masing memegang satu portfolio dalam kerajaan baharu itu.

Dua Timbalan Perdana Menteri dilantik iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memegang portfolio di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah manakala Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof turut memegang portfolio di Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Susulan pelantikan Fadillah sebagai Timbalan Perdana Menteri telah berjaya mencipta sejarah apabila beliau merupakan pemimpin pertama dari Sarawak dan Borneo yang diberi amanah untuk menggalas jawatan berkenaan.

Pada Sabtu seramai 27 menteri kabinet mengangkat sumpah jawatan dan sumpah setia simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Dengan pelantikan kesemua menteri kabinet itu menunjukkan sudah tibanya masa fokus kini adalah usaha untuk memulihkan ekonomi negara selain berusaha membantu rakyat yang kini terkesan akibat kenaikan kos sara hidup dan inflasi.

Tumpuan kini juga terarah kepada beberapa muka baharu yang dilantik sebagai Menteri dalam kabinet baharu kerajaan Perpaduan.

Antaranya adalah Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyandang jawatan Menteri Pertahanan serta Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua pemimpin itu merupakan Timbalan Presiden Parti dan mereka juga pertama kali menjawat jawatan dalam kabinet meskipun sebelum ini berpengalaman luas dalam bidang politik dan ekonomi.

Maka sudah tentu prestasi kedua-kedua pemimpin akan dinilai rakyat untuk mengetahui sejauh mana pengalaman luas mereka itu dapat membawa perubahan serta menyelesaikan isu-isu utama dalam portfolio masing-masing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan senarai pembentukan barisan Kabinet pada sidang media Pengumuman Kabinet Kerajaan Perpaduan di Bangunan Perdana Putra, pada Jumaat. 

Turut kelihatan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali (kiri).

 - Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan senarai pembentukan barisan Kabinet pada sidang media Pengumuman Kabinet Kerajaan Perpaduan di Bangunan Perdana Putra, pada Jumaat. 

Turut kelihatan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali (kiri).

 - Foto Bernama

Selain itu, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek yang dilantik sebagai Menteri Pendidikan yang baharu turut menjadi tumpuan untuk melihat dasar yang dibawa oleh beliau untuk melakukan pemerkasaan dalam sistem pendidikan negara.

Tambahan pula, pengalaman sebagai aktivis dan peguam dalam undang-undang keluarga Islam serta hal kebajikan kanak-kanak dilihat mampu membantu Fadhlina Sidek dalam melaksanakan tugasnya sebagai Menteri Pendidikan.

Keunikan dalam kabinet kerajaan baharu ini juga memperlihatkan pelantikan lima wanita sebagai menteri iaitu Hannah Yeoh sebagai Menteri Belia dan Sukan; Datuk Seri Azalina Othman (Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi); Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Menerusi pelantikan Hannah Yeoh dalam kementerian itu sudah tentu menjadi penanda aras terhadap bagaimana kepimpinan beliau dalam mentadbir kementerian yang sebelum ini didominasi lelaki.

Dengan pelantikan kelima menteri wanita ini menunjukkan wanita juga mampu menunjukkan kemampuan dan kredibiliti mereka dalam menerajui portfolio mereka tersendiri.

Biarpun terdapat beberapa pihak dan netizen menyuarakan pandangan dan mempertikaikan pelantikan beberapa menteri dalam barisan kabinet baharu itu namun ia sepatutnya tidak lagi dijadikan isu.

Semua pihak perlu berlapang dan menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka selain bergerak ke hadapan untuk memastikan negara ini mencapai kestabilan politik dan mempercepatkan pemulihan ekonomi negara.

Paling penting adalah kerajaan baharu itu memberi tumpuan untuk memulihkan ekonomi dan membangunkan negara.

Harapan besar rakyat terhadap kabinet Kerajaan Perpaduan adalah menteri yang dilantik itu dapat menjalankan tugas dengan baik terutama menangani kenaikan kos sara hidup kenaikan harga barang, menumpukan kepada usaha membasmi kemiskinan serta memastikan janji manifesto dapat ditunaikan.

Cukup-cukuplah berpolitik dan sudah tiba masanya kerajaan yang stabil dapat mengemudi usaha memulihkan ekonomi negara selain menyelesaikan isu-isu berkaitan masalah rakyat dan sebagainya.