Jakim yakin Mohd Na'im mampu bawa hala tuju agensi agama

Datuk Hakimah Mohd Yusoff
Datuk Hakimah Mohd Yusoff
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yakin dan percaya dengan latar belakang serta pengalaman luas Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dalam pentadbiran hal ehwal Islam di negara ini akan mampu membawa hala tuju agensi agama itu ke arah reformasi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, ia selaras dengan semangat Kerajaan Perpaduan yang berpaksikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

"Jakim zahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman dan pemilihan Senator Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar yang merupakan mantan Ketua Hakim Syarie dan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sebagai Menteri Agama dalam Kabinet pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

"Kita ucapkan tahniah kepada Mohd Na'im atas kepercayaan yang diberikan oleh pihak kerajaan terhadap beliau untuk mengetuai pentadbiran agensi hal ehwal Islam di negara ini," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Buat julung kalinya Ketua Hakim Syarie diberi kepercayaan menjadi menteri kabinet, apabila Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, 55, pada Sabtu mengangkat sumpah sebagai Menteri Agama dalam kabinet Kerajaan Perpaduan, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terdahulu beliau yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Negara berkuat kuasa pada Sabtu

Menurut beliau, Jakim selaku Sekretariat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yakin dan percaya bahawa pelantikan Menteri Agama oleh pihak kerajaan pada kali ini telah mendukung semangat MKI sebagaimana perubahan Peraturan MKI 2022 yang telah diperkenankan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-258 pada 9 hingga 10 Mac lalu.

"Semoga ALLAH SWT sentiasa melimpahkan rahmat kepada beliau serta sentiasa diberi kekuatan untuk menjalankan amanah ini dengan cemerlang," ujarnya.

Artikel Berkaitan: