Fadillah cipta sejarah, rakyat Borneo pertama jadi TPM

Fadillah Yusof
Fadillah Yusof
A
A
A
KUCHING - Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof, 60, melakar sejarah dalam politik Malaysia apabila menjadi rakyat pertama dari wilayah Borneo negara dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Dilahirkan di sebuah perkampungan Melayu di Sibu di bahagian tengah Sarawak, beliau adalah anak Allahyarham Yusof Merais, yang berjuang bersama-sama Rosli Dhoby, menentang penyerahan Sarawak kepada Kolonial British pada 1946.

Perjuangan bapa beliau ketika itu mungkin mengambil kira antara ‘hidup dan mati’ untuk negara, namun dengan darah perjuangan yang terus mengalir, perjuangan Fadillah untuk negara sudah pasti kini bukan hanya itu semata-mata.

Perjuangan yang seterusnya adalah untuk memastikan kejayaan Sarawak di atas landasan penubuhan Malaysia pada 1963 supaya menjadi sebahagian daripada negara yang maju menerusi pemikiran kepimpinan baharu.

Berbekalkan kelayakan sebagai pemegang Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya yang diperoleh pada 1986, beliau mengorak langkah memasuki arena politik sebagai jalan untuk meneruskan perjuangan untuk kemajuan Malaysia dan Sarawak.

Bermula sebagai ahli Sayap Pemuda dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Fadillah mempamerkan kecemerlangan kepimpinannya apabila terpilih menjadi calon Barisan Nasional (BN) dari parti itu untuk bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Petra Jaya pada Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10) 2004.

Pada pilihan raya itu, beliau memperoleh kemenangan dengan majoriti lima angka, 12,816 undi yang bagai menjadi tanda aras untuk kejayaannya dalam pilihan raya-pilihan raya seterusnya.

Pada PRU11, majoritinya meningkat kepada 14,397 undi dan majoriti besar itu berterusan sehingga PRU15 yang dianggap sebagai pilihan raya paling mencabar apabila beliau memperoleh majoriti 41,363 undi.

Peningkatan populariti Fadillah di Parlimen Petra Jaya tidak terlepas daripada pandangan kepimpinan Persekutuan yang membawa kepada pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada 2008.
Artikel Berkaitan:


Susulan kejayaan mengekalkan kedudukannya sebagai penyandang kerusi Parlimen pada PRU13 untuk kali ketiga berturut-turut, beliau dilantik sebagai Menteri Kerja Raya pada 2013.

Pelantikan itu membawa cabaran baharu kepada Fadillah apabila setahun selepas itu landskap politik di Sarawak berubah dengan pelantikan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem sebagai Ketua Menteri negeri itu dan mahukan perubahan yang cepat dari segi infrastruktur.

Membawa kemahuan rakyat Sarawak dan Sabah yang mendambakan sistem infrastruktur sehebat dinikmati rakyat di Semenanjung, Adenan memohon satu projek lebuh raya yang kemudiannya dikenali sebagai Lebuh Raya Pan Borneo.

Menerusi persetujuan kerajaan Persekutuan, projek itu dimulakan pada 2015 dan meskipun menghadapi ketidaktentuan politik yang berlaku antara tahun 2018 dan awal 2020, projek berkenaan mampu diteruskan.

Walaupun ‘tersisih’ hampir dua tahun daripada menjadi sebahagian kabinet Persekutuan, Fadillah yang diamanahkan sebagai Menteri Kanan Kerja Raya sebelum ini, terus menerajui usaha menyiapkan projek tersebut yang sudah semakin hampir mencapai matlamatnya.

Bagi bahagian Sarawak untuk projek Lebuh Raya Pan Borneo itu, hampir 90 peratus sudah disiapkan dan dijangka keseluruhannya dapat dinikmati rakyat menjelang tahun depan.

Kejayaan itu sudah pasti dapat menjadi asas kukuh untuk Fadillah yang terus menaiki hierarki kepimpinan dalam PBB dan kini menjadi Naib Presiden Kanan parti yang menjadi tunjang Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam meneruskan usaha untuk memperjuangkan kebajikan rakyat.

Dengan amanah baharu lebih mencabar daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menamakannya sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi, Fadillah sudah pastinya mampu mendukung tanggungjawab itu sebagaimana kecemerlangan ditunjukkannya selama ini.

Kepercayaan Perdana Menteri ke-10 itu dengan kebolehannya turut mengesahkan lagi keyakinan yang diberikan oleh tiga lagi Perdana Menteri sebelum ini terhadap Fadillah dalam meneruskan usaha membawa Malaysia ke arah kejayaan lebih hebat.- Bernama