Air empangan di Selangor mula dilepaskan: Edry Faizal

Edry turut berkongsi jadual perlepasan harian air empangan di laman Facebooknya pada Jumaat.
Edry turut berkongsi jadual perlepasan harian air empangan di laman Facebooknya pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof mengesahkan pelepasan air empangan di Selangor sudah bermula sejak pagi pada Jumaat.

Bagaimanapun, menurut beliau, paras air sungai masih berada di paras selamat namun terdapat kemungkinan hujan pada waktu petang yang memerlukan semua pihak bersiap sedia.

"Ada yang mesej saya bertanya berkenaan empangan yang sedang melepaskan airnya. Maklumat itu benar. Pelepasan telah pun bermula sejak awal pagi tadi. Pelepasan perlu dibuat memandangkan kapasiti simpanan air di empangan sudah mencecah 99 peratus.

Paras air sungai setakat ini masih berada di paras selamat. Namun, memandangkan sebelah petang terdapat kemungkinan hujan, maka seharusnya kita semua tetap bersiap-siaga.

"Kita doakan semoga semuanya selamat dan baik-baik saja," katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Jumaat.

Sebagai rekod di Selangor terdapat tujuh empangan iaitu Empangan Sungai Selangor, Empangan Sungai Tinggi di Hulu Selangor, Empangan Tasik Subang di Petaling, Empangan Sungai Langat dan Empangan Semenyih di Hulu Langat dan Kolam Off River Storage (ORS) Labu di Sepang yang berfungsi sebagai takungan sumber bekalan air mentah yang dioperasikan pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

Selain itu, Empangan Klang Gates dan Empangan Batu di Gombak merupakan empangan dwifungsi bagi tujuan tebatan banjir dan bekalan air mentah dioperasikan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia bersama Pengurusan Air Selangor.

Artikel Berkaitan: