Bahang PRN Selangor mula dirasai

Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Sze Han, Mohd Zawawi)
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Sze Han, Mohd Zawawi)
A
A
A

SHAH ALAM - Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor makin dirasai apabila parti-parti politik semakin rancak membuat persediaan dan mengaktifkan bilik gerakan.

Antaranya, Bilik Gerakan Utama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dengan rasminya diaktifkan bermula pada 1 Jun bagi membuat persediaan awal dalam menghadapi cabaran PRN.

Perkara itu dikongsi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menerusi ciapan di laman Twitter miliknya pada Ahad.

"Gerakan Utama - BGU - Perpaduan N49 Sungai Kandis mula diaktifkan. Semua jentera penggerak Perpaduan DUN Sungai Kandis telah siap sedia untuk menghadapi cabaran PRN15.

"Mohon doa restu semua. Kita maju bersama-sama PM10 (Perdana Menteri ke-10) Malaysia Madani," kata ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menerusi ciapan tersebut pada Ahad.

Sementara itu, ADUN Kinrara dari DAP, Ng Sze Han ketika dihubungi Sinar Harian memaklumkan Pusat Khidmat DUN Kinrara dibuka seperti biasa sehingga pengumuman tarikh PRN dibuat.

Bagaimanapun beliau turut memaklumkan, pusat khidmat berkenaan secara automatiknya akan ditransformasikan kepada bilik gerakan apabila tarikh PRN itu diumumkan nanti.

"Buat masa ini, jentera (DUN) Kinrara telah bersiap siaga namun akan meneruskan perkhidmatan seperti biasa walaupun DUN dibubarkan kelak," kata Sze Han juga merupakan Setiausaha DAP Selangor kepada Sinar Harian.

Sebagai rekod, Mohd Zawawi juga merupakan Exco Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri dan Sze Han pula merupakan Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam negeri.

Pada Sabtu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari seperti dilaporkan media mengesahkan khabar angin berhubung tindakan beberapa pengerusi jawatankuasa atau exco kerajaan negeri yang mula mengemas serta mengosongkan ruang pejabat.

Beliau berkata, tindakan berkenaan merupakan perkara biasa dilakukan mereka terutamanya pada akhir penggal, bagi menghadapi pilihan raya.

Amirudin berkata, beliau sedang menunggu perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk sesi menghadap bagi menentukan tarikh pembubaran DUN Selangor, dan kerajaan negeri hanya mempunyai tempoh 23 hari bermula Sabtu bagi membubarkan DUN.

Selangor antara enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini selain Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan dan Kedah.