GHS perkasa eksekutif halal

Zulkifli (dua dari kanan) dan Amir Hamzah (tengah) ketika melakukan gimik pelancaran GHS sempena PEH26.
Zulkifli (dua dari kanan) dan Amir Hamzah (tengah) ketika melakukan gimik pelancaran GHS sempena PEH26.
A
A
A

BANGI – Pelancaran Global Halal School (GHS) menjadi inisiatif terbaharu Kolej UNITI Port Dickson dan UNITI Halal Centre (Uhac) bagi melahirkan lebih ramai eksekutif halal yang berpengetahuan, berkemahiran dan berkesedaran tinggi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, GHS berpotensi memperkukuh pendidikan halal dan melahirkan tenaga mahir bagi memenuhi keperluan industri.

Zulkifli
Zulkifli

“Usaha memperluas pengetahuan pemain industri halal amat penting bagi memastikan pembangunan sektor halal tidak hanya tertumpu kepada aspek pensijilan, malah merangkumi nilai integriti, kebersihan, kelestarian dan kesihatan.

“Malaysia sudah mempunyai ekosistem halal yang lengkap dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Halal Development Corporation Berhad (HDC) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang memainkan peranan masing-masing dalam memajukan sektor berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Eksekutif Halal 2026 (PEH26) di sini pada Selasa.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Jakim, Datuk Mohd Asri Abdullah; Ketua Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa; Pengarah Uhac, Muhamad Elyas Harun dan Profesor Adjung Universiti Islam Selangor, Datin Hakimah Mohd Yusoff.

Artikel Berkaitan:

Lebih 300 peserta menghadiri PEH26 anjuran Kolej UNITI dan Uhac di Bangi semalam.
Lebih 300 peserta menghadiri PEH26 anjuran Kolej UNITI dan Uhac di Bangi semalam.

Zulkifli berkata, inisiatif GHS dan PEH26 diharap dapat meningkatkan kompetensi tenaga kerja serta memperkukuh daya saing industri halal negara di peringkat global.

Menurutnya, eksekutif halal memainkan peranan penting dalam memastikan prinsip halal diterapkan secara menyeluruh dalam operasi industri.

“Eksekutif halal bukan hanya melihat dari aspek dokumen, tetapi kita juga ingin melihat bagaimana mereka memainkan peranan dalam menterjemahkan roh dan semangat halal itu sendiri.

“Mereka merupakan antara pemegang taruh penting yang mampu memacu pertumbuhan industri halal negara bukan sahaja di peringkat domestik, malah di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau turut menggesa pemain industri tempatan memperluas penglibatan di pasaran antarabangsa bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai rujukan dunia, khususnya dalam pensijilan halal yang diterajui Jakim.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!