YKM sasar 2,000 peserta Larian Keluarga Malaysia 2026, 5 Disember ini

YTM anjur Larian Keluarga Malaysia 2026
YTM anjur Larian Keluarga Malaysia 2026
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) meneruskan penganjuran Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2026 buat tahun ketiga dengan menyasarkan penyertaan seramai 2,000 peserta di Padang Kawad, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada 5 Disember depan.

Larian malam itu menjadi platform mengumpul dana bagi meneruskan bantuan kebajikan serta pendidikan kepada anak-anak yatim dan yatim piatu yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19 di bawah jagaan YKM.

Pengerusi YKM, Datuk Seri Dr Ismail Sabri Yaakob berkata, program berkenaan bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat dan memupuk semangat perpaduan, malah memberi peluang kepada orang ramai untuk menyumbang kepada masa depan anak-anak yang memerlukan sokongan berterusan.

“Setiap penyertaan membawa makna besar kepada anak-anak di bawah jagaan yayasan itu, selain memberi peluang kepada peserta meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan menerusi aktiviti riadah.

“Sehubungan itu, YKM menyeru orang ramai, khususnya mahasiswa, golongan belia, keluarga dan komuniti peminat sukan larian agar merebut peluang menyertai program ini, lebih-lebih lagi ketika tawaran pendaftaran awal masih dibuka,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Larian sejauh lima kilometer (km) bertemakan Luminous Run dengan slogan ‘Satu Langkah, Satu Hati’ itu memasuki tahun ketiga menawarkan beberapa aktiviti menarik termasuk mini konsert, senamrobik dan cabutan bertuah.

Larian dengan kerjasama Institut Pemimpin Muda UiTM, MC+ dan Malika Entertainment Management mengekalkan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebagai duta LKM 2026.

YKM menawarkan yuran pendaftaran bermula RM45 bagi peserta individu dan RM35 bagi pelajar, staf serta alumni menerusi fasa Super Early Bird yang berlangsung dari 26 Oktober hingga 4 November ini.

Bagi Early Bird dari 5 hingga 16 November kadar bermula RM50 untuk peserta individu dan RM40 pelajar, staf, alumni manakala harga biasa bermula 17 hingga 28 November pula berharga RM55 bagi peserta individu dan RM50 bagi katogeri yang sama.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai boleh mendaftar dan mendapatkan tiket penyertaan melalui https://checkpointspot.asia/event/larian-keluarga-malaysia-2026

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!